Khamis 28 Disember 2017...Hari ini genap 52 tahun lahirnya Silat Cekak di alam nyata. Mengimbau kembali sejarah Silat Cekak diketahui bermula apabila ceritakan oleh seorang pemegang amanah silat ini iaitu Encik Yahya bin Said yang telah menyimpan silat ini selama 40 tahun berdasarkan amanah dari seorang panglima kanan kerajaan Melayu Kedah pada tahun 1925 iaitu Panglima Tok Rashid.
Ilmu silat ini pernah diamalkan oleh panglima-panglima kanan kesultanan Melayu Kedah antaranya dikenali sebagai Panglima Ismail sekitar tahun 1804-1864 bagi mempertahankan kedaulatan negeri Kedah dari pencerobohan asing terutamanya pihak Siam di zaman Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah pada 1854 hingga 1879 (Syazwan et. al, 2015).
Silat ini akhirnya diwarisi dan dihidupkan semula oleh YM Ustaz Hanafi bin Haji Ahmad melalui Encik Yahya Said pada 28 Disember 1965 di Alor Setar, Kedah bersamaan 5 Ramadhan 1365H. Silat Cekak telah mula digerakkan di bawah Perkumpulan Seni Sari Budaya Sri Kedah (PSSBSK) pada awal tahun 1966 (Ahmad, 1978).
Hakikatnya, Silat Cekak telah lahir ketika keadaan Malaya pasca kemerdekaan yang penuh dengan pelbagai cabaran dan rintangan sosio politik seperti ancaman keselamatan, kemelesetan ekonomi, kemiskinan dan masalah buta huruf di kalangan rakyat namun silat ini terus berkembang berkat kesabaran dan kepimpinan pengasasnya; Ustaz Hanafi bin Haji Ahmad (Shukri et. al, 2017).
Kempen pertunjukkan Silat Cekak pada September 1966 di pawagam Cathay Alor Setar, Kedah. |
Kelahiran dan perkembangan Silat Cekak perlu dihayati oleh kita semua menerusi serangkap pantun ciptaan YM Ustaz Hanafi yang penuh tersurat dan tersirat berikut;
Lahirnya Cekak Kerana Kesedaran
Bukan Bermusuh Sebagai Tujuan
Untuk Mendaulat Seni Kebangsaan
Mensesuai Dengan Makna Kemerdekaan
Pantun Silat Cekak (PSSCM, 1975)
YM Almarhum Tuan Haji Ishak bin Itam; Guru Utama dan Presiden PSSCM ke 2 |
YM Datuk haji Maideen Kadir Shah; Guru Utama dan Presiden PSSCM ke 3 |
Kini Silat Cekak terus berkembang maju bersama Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) di bawah kepimpinan YM Datuk Haji Maideen Kadir Shah; Guru Utama dan Presiden ke - 3 PSSCM menggantikan YM Tuan Haji Ishak Itam; Guru Utama dan Presiden PSSCM ke - 2 (1986-2009).
Rujukan
M. Syazwan Y, Murni Idayu M.A, Nurulhuda A.R, Nurli Haniyyah A.H, Aimi Alwani M.A & Wan Mohd Dhaiyudeen Helmy W.M (2015). Kajian Awal Kesahihan Sejarah Panglima Ismail melalui Kaedah Pembuktian Dokumentasi. Kolokium Seni Silat Cekak Malaysia (KOSSCEM) Ed.3, 2 Mei 2015. Pulau Pinang: Penerbit PSSCM Universiti Sains Malaysia, 49-52.
Ahmad, H.H (1978). Hanafi Hj Ahmad dan Seni Silat Cekak. Tesis Tahun Akhir, Ijazah Sarjana Muda Sastera. Universiti Malaya, (tidak diterbitkan), 47-52.
Shukri J., Zaimlah Y., & M. Surat (2017). Sedekad Perkembangan Silat Cekak (1965 - 1975): Sumbangan Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) dalam Pembangunan Insan, Masyarakat dan Negara. Kolokium Seni Silat Cekak Malaysia (KOSSCEM) Ed. 5, 22 April 2017. Pulau Pinang: Penerbit PSSCM Universiti Sains Malaysia, 123-128.
PSSCM (1975). Suara Cekak Bilangan 1 Tahun 1975. Kuala Lumpur: PSSCM, 58.
Disediakan oleh;
Unit Media PSSCM Putrajaya @ 2017
PSSCM (1975). Suara Cekak Bilangan 1 Tahun 1975. Kuala Lumpur: PSSCM, 58.
Disediakan oleh;
Unit Media PSSCM Putrajaya @ 2017