Sunday 21 October 2018

Silat Cekak: Kursus Tenaga Pengajar PSSCM Peringkat Lembah Klang...PSSCM Putrajaya turut hantar wakil


Ahad, 21 Oktober 2018: Kuala Lumpur...Seramai 5 orang wakil Tenaga Pengajar PSSCM Putrajaya telah menghadiri  Kursus Tenaga Pengajar PSSCM Peringkat Lembah Klang yang telah diadakan selama 2 hari di Bangunan Silat Cekak di Sentul.

Dalam program ini lebih 40 orang Tenaga Pengajar PSSCM Lembah Kelang telah mengambil bahagian. 



Pada hari pertama kursus para Tenaga Pengajar telah didedahkan dengan struktur dan organisasi PSSCM. Pada hari kedua keesokan harinya mereka diberi penerangan mengenai penyelarasan buah-buah dalam silibus Silat Cekak yang disampaikan oleh barisan Jurulatih dan Lembaga Pelajaran dan Tatatertib (LPT) PSSCM. 






Semoga PSSCM terus mara mendaulatkan seni seni di tanah air. Amiin

Foto kredit kepada: Jabatan Penerangan PSSCM

Disediakan oleh;

Unit Demonstrasi dan Persembahan PSSCM Putrajaya @2018

Wednesday 17 October 2018

Silat Cekak: Kunjungan Hormat Delegasi PSSCM Putrajaya ke Perbadanan Putrajaya


Rabu, 17 Oktober 2018: Delegasi PSSCM Putrajaya telah mengadakan kunjungan hormat sepetang ke Bahagian Komuniti Perbadanan Putrajaya. Lawatan ini bertujuan memperkenalkan PSSCM kepada pihak pengurusan komuniti di Perbadanan Putrajaya.

Selain itu, PSSCM Putrajaya turut mengadakan perbincangan kearah mengadakan sebuah kerjasama strategik dalam membangunkan komuniti dan seni budaya di Putrajaya. 




Selama 8 tahun kewujudan PSSCM di Putrajaya banyak program telah dilaksanakan oleh pihak persatuan dan ahli PSSCM di bandar ini dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Penduduk (PERKEP) Blok 4D Presint 9 dan warga komuniti Putrajaya. Antaranya gotong royong, aktiviti kesukanan, kebajikan dan keagamaan.  







#komuniti #putrajaya #perbadananputrajaya #silatcekak #silat #presint

Disediakan oleh Unit Media Strategik PSSCM Putrajaya, 2018

Saturday 13 October 2018

USIM: Kursus Kepimpinan PSSCM IPT ke 7 2018 & Pelancaran Buku SCSA Jld 3.



Sabtu, 13 Oktober 2018: USIM - Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai hari ini mencipta sejarah apabila buat pertama kalinya telah menganjurkan Kursus Kepimpinan PSSCM IPT Se Malaysia kali ke 7. Kursus ini dianjurkan oleh PSSCM Pusat dengan kerjasama dari PSSCM USIM dan PSSCM Negeri Sembilan.


Kursus ini diadakan selama 3 hari bermula pada 12 hingga 14 Oktober 2018 telah menghimpunkan lebih 300 orang pemimpin PSSCM dari lebih 40 buah Institusi Pengajian Tinggi  (IPT) Awam dan Swasta dari seluruh negara bertempat di Dewan Kuliah Pusat 3 kampus USIM. 

PSSCM Putrajaya turut menghantar wakil-wakilnya menghadiri program ini.




Para peserta terdiri dari kalangan Jawatankuasa dan Exco Tertinggi PSSCM di peringkat IPT di samping barisan Tenaga-Tenaga Pengajar PSSCM yang terlibat aktif dan secara langsung dalam membangunkan komuniti mahasiswa dan kakitangan di pelbagai universiti tempatan menerusi kegiatan Silat Cekak.

YMDGU dalam ucapannya memuji barisan jawatankuasa penganjur kerana menjayakan program bersejarah ini meskipun menghadapi pelbagai kesukaran. Semangat ini menunjukkan bahawa ilmu Silat Cekak mengajar supaya para penuntutnya berani menempuhi cabaran dan sanggup berkorban. Setiap ahli juga mempunyai tanggungjawab dan amanah bagi melahirkan pemimpin yang hebat di masa hadapan. Selain itu, PSSCM turut berusaha menyuburkan nilai-nilai keilmuan dalam seni silat supaya dapat mengangkat martabat silat seperti mana pelancaran buku Silat Cekak Silat Akademik (SCSA) Jilid ketiga pada hari ini.  




Majlis ini dirasmikan oleh Prof Dato' Dr Roshada bt Hashim; Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USIM. Dalam ucapannya beliau memuji jawatankuasa PSSCM kerana memilih USIM sebagai tuan rumah bagi penganjuran program yang dapat membangunkan sahsiah di kalangan mahasiswa. Pihak universiti sememangnya menyokong program-program yang mempunyai nilai-nilai keilmuan yang dapat mengintegrasikan antara ilmu aqli dan naqli. Silat Cekak Malaysia dilihat dapat memenuhi kriteria tersebut.

Beliau turut mengumumkan Seni Silat Cekak Malaysia akan diberikan taraf ko-kurikulum dengan dua unit akademik pada sesi tahun semester 2019 dan akan diletakkan di bawah Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI) USIM.

Prof Dato' Dr Roshada turut melancarkan buku Silat Cekak Silat Akademik (SCSA) Jilid ke 3 yang menghimpunkan sebanyak 10 buah makalah dan jurnal akademik berkaitan ilmu Seni Silat Cekak Malaysia yang telah dibentangkan di pelbagai kolokium, persidangan serta seminar tempatan dan antarabangsa sepanjang tahun 2016 -2018. Ia ditulis oleh seramai 21 orang penulis terdiri dari ahli PSSCM dan 2 pensyarah bukan ahli PSSCM.



Buku tersebut merupakan siri ketiga yang diterbitkan oleh PSSCM sejak tahun 2015 bagi merealisasikan impian pengasas Seni Silat Cekak Malaysia; YM Almarhum Ustaz Hanafi bin Haji Ahmad dan Guru-Guru Utama seterusnya; YM Almarhum Tuan Haji Ishak bin Itam dan YM Datuk Haji Maideen Kadir Shah yang mahu mengangkat nilai keilmuan dan martabat seni silat Melayu di negara ini seterusnya ke peringkat antarabangsa.



Artikel-artikel di dalam buku-buku SCSA Jilid 3.0 ini akan menjadi rujukan utama kepada para pengkaji ilmu seni silat Melayu khususnya untuk mengenali ilmu Silat Seni Cekak dari pelbagai sudut seperti falsafah, nilai pendidikan, kerohanian, sahsiah, sejarah, kemasyarakatan, budaya, saintifik dan sebagainya. Rujukan tersebut juga berguna kepada para penuntut PSSCM yang akan mengambil ujian teori Ujian Sijil Rendah (USR) dan Sijil Menengah Akademik (SMA) selain para mahasiswa dan golongan akademik di peringkat universiti yang berminat mengkaji ilmu persilatan Melayu.



Sementara itu Program Kepimpinan PSSCM IPT Kebangsaan ini menampilkan seramai 4 orang penceramah yang akan membicarakan aspek pentadbiran, pengurusan kewangan, komunikasi berkesan dan integriti.

Program ini berakhir pada Ahad, 14 Oktober 2018 dengan masing-masing peserta diberikan sijil penyertaan. Semoga para pemimpin PSSCM di kalangan mahasiswa IPT ini mendapat pelbagai ilmu dan manfaat bagi membangunkan Seni Silat Cekak Malaysia di universiti masing-masing.

Tahniah buat penganjur, penceramah, fasilitator dan peserta yang terlibat. Terima kasih USIM atas sokongan terhadap PSSCM.

Foto-foto menarik;














Kredit Foto: Jabatan Penerangan PSSCM & krew Unit Media Strategik PSSCM Putrajaya


Disediakan oleh;

Unit Media Strategik PSSCM Putrajaya@2018