Sunday 21 July 2019

Hari Guru Bersama Pemimpin PSSCM 2019 hebat dan meriah

Salah seorang penerima anugerah PSSCM disampaikan oleh YMDGU

Sabtu, 20 Julai 2019: PUTRAJAYA.  Majlis Sambutan Hari Guru Bersama Pemimpin PSSCM telah berlangsung meriah dan hebat di Hotel Marriot Putrajaya. Acara julung-julung kali ini diadakan terbahagi kepada dua aktiviti utama iaitu Majlis Istiadat Penganugerahan pada sebelah siangnya dan Malam Tautan Kasih pada sebelah malamnya telah dihadiri hampir 600 orang tetamu terdiri dari ahli-ahli PSSCM dari seluruh negara.

Seramai 198 orang telah menerima pelbagai penganugerahan dari YMDGU sebagai tanda sumbangan dan bakti mereka kepada perkembangan PSSCM. Ia termasuk seramai 9 orang penerima Pending PSSCM, 26 penerima Anugerah Baju Layang PSSCM dan seramai 163 orang penerima anugerah bengkung khas.

Perarakan masuk dewan penuh istiadat keMelayuan tanda usaha memartabatkan nilai budaya bangsa

Program-program ini telah diserikan dengan persembahan menarik demonstrasi silat dan parang lading yang disertai oleh orang-orang lama PSSCM selain pameran booth PSSCM yang turut menjual pelbagai produk PSSCM. 

YMDGU dalam ucapan perasmiannya menegaskan bahawa betapa pentingnya keberkatan dalam menuntut ilmu persilatan dengan mengetahui susur galur yang jelas dan intipati yang bersih supaya dapat diamalkan dan memberi manfaat kepada masyarakat. 


Program Makan Malam Tautan Kasih telah diserikan dengan kehadiran YB Datuk Wira Omar bin Jaafar; Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka. Beliau dalam ucapannya telah menyatakan kekaguman terhadap perkembangan Silat Cekak dalam memartabat nilai dan tradisi keilmuan di negara ini selama lebih 50 tahun.  

Majlis ini turut diserikan dengan pelancaran Buku Pembangunan Silat Melayu yang memaparkan usaha berterusan PSSCM dalam membangunkan ilmu persilatan di negara ini.


Program ini merupakan usaha berterusan PSSCM dalam mengangkat martabat institusi perguruan dan kepimpinan dalam dunia persilatan Melayu. Ia dilakukan di sebuah tempat yang berpretij bagi menghargai jasa dan pengorbanan para guru dan pemimpin PSSCM. 

Foto-foto menarik;






  



















Kredit foto: Ahli-ahli PSSCM.

#silatcekak #silatmelayu #melayu #marriot #putrajaya #perbadananputrajaya

Sila layari pautan di bawah untuk foto-foto yang lebih banyak dan menarik.

https://www.facebook.com/202771646472261/posts/2377248492357888/
https://www.facebook.com/202771646472261/posts/2377269025689168/

Disediakan oleh;

Unit Media Strategik PSSCM Putrajaya @2019

Wednesday 17 July 2019

Selamat Menyambut Ulangtahun Kelahiran YM Datuk Haji Maideen Kadir Shah


Selamat Menyambut Hari Ulang Tahun Kelahiran buat YM Datuk Hj Maideen bin Kadir Shah, Guru Utama dan Presiden Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia PSSCM. 

Semoga Allah kurniakan Guru Utama kami kesihatan yang baik, usia yang diberkati, kejayaan di dunia dan kejayaan di akhirat. 

Terima kasih YM Datuk kerana memimpin kami dan PSSCM.

Kami warga PSSCM mendoakan semoga Allah kurniakan segala kebaikan yang terbaik buat YM Datuk dan seluruh ahli keluarga.

Amiin. 

Ikhlas dari kami; 

Ahli-Ahli PSSCM Putrajaya dan keluarga

Thursday 11 July 2019

Poster: Pesan YM Guru Utama dan Presiden PSSCM



YM Ustaz Hanafi bin Haji Ahmad merupakan Pengasas, Pemimpin Agung, Guru Utama dan Presiden pertama PSSCM. Di bawah kepimpinan beliau telah lahir majalah Suara Cekak pada tahun 1975 yang menjadi medium kepada PSSCM memperkenalkan Silat Cekak kepada masyarakat umum. Usaha tersebut selari dengan matlamat Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) yang popular ketika era 1970an. 

Hayatilah pesanan dan amanatnya yang terkandung di dalam majalah tersebut.

Sila kongsi dan sebarkan...

#silatcekak #silatmelayu #psscm

Disediakan oleh:

Unit Media Strategik PSSCM Putrajaya @2019

Wednesday 10 July 2019

Poster Pesan YM Guru Utama dan Presiden PSSCM


Poster Pesan Guru: Hayatilah amanat dan pesanan Almarhum Tuan Haji Ishak bin Itam; YM Guru Utama dan Presiden PSSCM (1986 - 2009). Semoga ia bermanfaat kepada kita semua demi perjuangan memartabatkan ilmu Seni Silat Cekak Malaysia di tanah air kita.

Sila kongsi dan sebarkan!

#silatcekak #silatmelayu

Disediakan oleh;

Unit Media Strategik PSSCM Putrajaya@2019

Tuesday 9 July 2019

Poster Pesan Guru Utama dan Presiden PSSCM: YM Datuk Haji Maideen Kadir Shah



Poster Pesan YM Guru Utama dan Presiden PSSCM. Sama-sama kita hayati semoga ia bermanfaat untuk perkembangan seni silat Melayu di tanah air kita.

Disediakan oleh;

Unit Media Strategik PSSCM Putrajaya @ 2019 

Monday 8 July 2019

Poster Amanat Guru Utama dan Presiden PSSCM; Almarhum Tuan Haji Ishak bin Itam



Kongsi poster: Amanat YM Guru Utama dan Presiden PSSCM Almarhum Tuan Haji Ishak Itam (1986 - 2009). Semoga apa yang diamanatkan kepada ahli-ahli PSSCM dapat dihayati dan diamalkan oleh kita semua... Insya Allah.


Poster oleh;

Unit Media Strategik PSSCM Putrajaya, 2019

Friday 5 July 2019

Promosi ...jom belajar Seni Silat Cekak Malaysia..ketahui sanad dan nasab sejarahnya


Kepada warga Putrajaya dan sekitar...rebutlah peluang dan isi masa terluang kita dengan mempelajari ilmu seni mempertahankan diri Seni Silat Cekak Malaysia. Ilmu silat ini digerakkan melalui Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM).

Seni silat Melayu ini dikategorikan sebagai ilmu silat tempur yang boleh digunakan untuk mempertahankan diri dan bertempur. Ia berasal dan pernah diamalkan oleh para panglima dan pendekar Melayu di zaman kesultanan Melayu Kedah terutama sekali di zaman Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II yang memerintah  kerajaan negeri Kedah pada 1804 - 1845. Antara Panglima terkenal sebagai pembawa silat ini ialah Wan Ismail bin Wan Long yang merupakan pembesar kanan negeri Kedah sejak tahun 1822 hingga 1897 dan bersambung kepada Panglima Rashid bin Awang Lahat (1897 - 1925); Panglima dari Yan, Kedah. Maklumat lanjut layari; https://www.silatcekak.org.my/

Sanad silat ini bersambung apabila Encik Yahya Said diamanahkan oleh Panglima Rashid untuk memegang amanah menyimpan silat ini sehingga ditemui seorang pewaris yang layak. Beliau telah menyimpan silat ini selama 40 tahun (1925 - 1965) sehinggalah Yang Mulia Ustaz Hanafi bin Haji Ahmad berjaya menghidupkan kembali silat ini pada 28 Disember 1965 dan memimpin silat ini atas nama Persatuan Seni Silat Cekak Kedah Malaysia (PSSCKM) dan kemudiannya berdaftar sebagai PSSCM hinggalah ke akhir hayat beliau pada 13 Ogos 1986. 

Sanad perguruan silat ini bersambung kemudiannya kepada Yang Mulia Tuan Haji Ishak bin Itam (1986 -2009) dan Yang Mulia Datuk Haji Maideen Kadir Shah (2009 - kini).  

Di Putrajaya, PSSCM bergerak bersama komuniti sejak tahun 2010. Pelbagai aktiviti kemasyarakatan disertai oleh PSSCM Putrajaya. Jadi teruskan melayari blog kami ini dan juga facebook kami di https://www.facebook.com/psscm.putrajaya/

So dah tahu sejarah dan latar belakang silat ini boleh datang terus ke kelas latihan kami setiap Isnin dan Selasa, bermula jam 9.00 malam di;

Dewan Serbaguna Komuniti
Fasa 4, Blok 4D, Presint 9
62250 Putrajaya, 
Wilayah Persekutuan, Malaysia 

So jangan lupa...jika berminat bolehlah berdaftar jadi ahli. 

Disediakan oleh;

Unit Media Strategik PSSCM Putrajaya, 2019.