Wednesday 14 February 2018

Sejarah Perkembangan Silat Cekak di Institusi Pengajian Negara; Universiti, Kolej & Sekolah


Perkembangan Seni Silat Cekak di institusi pengajian negara bermula apabila pengasas persatuan ini; Almarhum Ustaz Hanafi bin Haji Ahmad berjaya membentangkan satu kertas kerja bertajuk Seni Silat Cekak di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang pada 12-14 Julai 1973 (PSSCMUSM, 2015). Ia diikuti dengan pembukaan kelas latihan pertama di Universiti Malaya (UM) pada Julai 1974.

Seterusnya kelas Silat Cekak telah berjaya dibuka di Institut Teknologi Mara - ITM (1974), Universiti Pertanian Malaysia - UPM (1975), Universiti Teknologi Malaysia - UTM (1976), Universiti Sains Malaysia - USM (1976). PSSCM telah diberikan peluang membuat pertunjukkan Silat Cekak sempena Hari Pesta Konvokesyen ke 4 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada Jun 1974. Bertitik tolak dari persembahan tersebut pada tahun 1976 kemudiannya pihak HEP UKM telah membenarkan Silat Cekak berkembang di universiti ini (PSSCM, 1976).

Almarhum Ustaz Hanafi bin Haji Ahmad bersama Almarhum Tun Abdul Razak; Perdana Menteri Malaysia merangkap Canselor UKM sewaktu Hari Pesta Konvokesyen UKM 1974 yang merintis pembukaan kelas Silat Cekak Malaysia di UKM. 

PSSCM terus melebarkan sayapnya di Universiti Utara Malaysia - UUM pada tahun 1981, Universiti Islam Antarabangsa - UIAM (1987), Universiti Malaysia Pahang - UMP (2009), Universiti Perlis Malaysia - UNIMAP (2014). Ini seterusnya diikuti oleh Universiti Malaysia Kelantan - UMK, Universiti Malaysia Terengganu - UMT, Universiti Sultan Zainal Aidin (Unisza), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS). 

Ujian Teori secara atas talian (online) Sijil Rendah PSSCM - satu inovasi dalam dunia persilatan Melayu di Malaysia ke arah mengakademikkan seni silat Melayu 

Manakala di IPTS-IPTS, kelas-kelas latihan Silat Cekak di bawah PSSCM turut berkembang antaranya di Universiti Kuala Lumpur - British Malaysian Institute (UniKL-BMI), Malaysian France Institute (UniKL-MFI), Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL-MIAT), Malaysian Spanish Institute (UniKL-MSI), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Multi Media (MMU), Universiti Teknologi Malaysia (UTEM), Universiti Tun Hussien Malaysia (UTHM), Universiti Selangor (UniSel), TATI Universiti College (TATIUC), TAJ International College (TIC), Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM) dan sebagainya

Sehingga Mei 2017 sebanyak 88 buah IPTA/S, Sekolah Menengah, Maahad Tahfiz, Kolej, Politeknik dan Institut Pendidikan Perguruan (IPG) telah menerima PSSCM samada sebagai sebuah persatuan pelajar bertaraf ko-kurikulum kebudayaan atau sebuah kelab pelajar (PSSCM, 2017).

Kelas Silat Cekak Malaysia di SMK Putrajaya Presint 9(2)

Kini PSSCM turut berkembang sebagai ko-kurikulum di sekolah-sekolah melalui Program 1Sekolah 1Silat anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 9(2) sebagai sekolah perintis di Lembah Kelang dan Putrajaya (PSSCM Putrajaya, 2018).


Mahasiswa digalakkan menyertai kegiatan ko-kurikulum sebagai komponen pembangunan modal insan. Gambar Ihsan PSSCM UKM sempena Program Kenegaraan Anjuran Bersama UKM - YADIM - PDRM - MKN, JPM, November 2015 

Sumber:


  1. PSSCMUSM (2015) Sejarah Awal Penubuhan dan Perkembangan Ko-Kurikulum dlm Jubli Delima Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Universiti Sains Malaysia (PSSCM USM) 1396 Hijrah - 1436 Hijrah. Pulau Pinang: Penerbit PSSCMUSM, 26. 
  2. PSSCM (2017). Sambutan 52 Tahun Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia, Konvokesyen Ke 34 Mesyuarat Agong Perwakilan ke 45. 20 Mei 2017 Bersamaan 23 Syaaban 1438H Dewan Datuk Haji Maideen, Seremban, Negeri Sembilan. Kuala Lumpur: Penerbit PSSCM, 51-56.
  3. PSSCM (1976). Suara Cekak Bil. 2 Ed. 2. Kuala Lumpur: Penerbit PSSCM, 57.
  4. PSSCM Putrajaya (2018). Laporan Tahunan 2017 Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Kelas IBWS 9 (2). Putrajaya: PSSCM Putrajaya.

No comments:

Post a Comment