Wednesday 27 December 2023

58 tahun Ulangtahun Kelahiran Silat Cekak, Sanadnya Terjaga Warisan Terpelihara


Khamis, 28 Disember 2023: AlhamduLillah genap 58 tahun usia kelahiran semula Seni Silat Cekak sejak ia diasaskan oleh YM Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad; Guru Utama dan Presiden Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM).

Ilmu Silat Cekak diketahui sejarahnya bermula pada zaman pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah (1804-1845). Ketika itu berlakunya peperangan antara tentera Sukhotai (suku Thai) yang menceroboh Kedah pada 12 November 1821. 

Sepanjang 21 tahun peperangan yang dikenali sebagai Perang Musuh Bisik (1821-1842) menyaksikan silat ini berkembang dan dijadikan sebahagian dari ilmu peperangan para Melayu Kedah yang diterajui oleh Dato' Paduka Raja Laksamana Wan Ismail bin Wan Muhammad Long atau dikenali sebagai Panglima Ismail bin Long.

Silat ini kemudiannya diserahkan oleh Panglima Ismail kepada Panglima Dato' Abdul Rashid bin Awang Lahat atau dikenali sebagai Panglima Tok Rashid pada 1897 hingga 1925. 

Panglima Tok Rashid kemudiannya menyerahkan amanah silat ini kepada Encik Yahya bin Said sehingga Almarhum Ustaz Hanafi menghidupkan semula dan mempelajarinya pada tahun 1965 dan menjadi Guru Utamanya pada 1966.

Ustaz Hanafi bin Ahmad menerajui silat ini melalui Persatuan Seni Silat Chekak Kedah Malaysia yang seterusnya menjenamakan sebagai Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) sehingga akhir hayatnya pada Ogos 1986. 

PSSCM kemudiannya diterajui oleh YM Ustaz Ishak bin Itam sebagai Guru Utama dan Presiden PSSCM sehingga 2009. Kepimpinan PSSCM seterusnya diterajui pula oleh YM Datuk Haji Maideen Kadir Shah bermula 2009 hingga kini.


Perjalanan sejarah PSSCM jelas membuktikan bahawa ilmu kepimpinan persilatan ini diperturunkan secara bersanad iaitu melalui sanad perguruan dan sanad ilmu dari satu guru ke satu guru tanpa terputus jalan sanadnya. Ia juga dipelajari oleh pelbagai lapisan dan latar belakang masyarakat yang berbeza namun mempunyai matlamat yang sama.

Ini berbeza dengan pengertian kepimpinan bersanad saka yang boleh terputus-putus dan hanya bersambung dengan sesuatu apabila ia dituntut atau diambil untuk dipusakai oleh seseorang.

Berdasarkan catatan sejarah, kesemua mandat Guru-Guru Silat Cekak bukan bersifat warisan pusaka bapa ke anak. Sebaliknya warisan dan amanah kepimpinan dianugerahkan kepada mereka yang berhak. Ini menjadikan PSSCM sebuah persatuan yang unik dari sudut kepimpinan kerana Guru dan Presidennya dipilih oleh para ahli berdasarkan Perlembagaan PSSCM yang berkuatkuasa.  

Kini sanad Silat Cekak diperkukuhkan lagi melalui sanad kerabat Di Raja apabila PSSCM dinaungi oleh DYMM Sultan Kedah, manakala Timbalan Penaungnya juga dari kerabat kesultanan Kedah yang mempunyai jurai keturunan yang sahih dan menjadi pelindung kepada kedaulatan negeri Kedah serta hubungan langsung dengan keturunan Laksamana Wan Ismail atau Panglima Ismail.  

#silatcekak #silatcekakmalaysia #silatcekaksilatakademik #sejarahkedah #kedah 

Disediakan oleh;

Unit Dokumentasi PSSCM Putrajaya@2023  



Friday 22 December 2023

AlhamduLillah ...Tahniah buat An Ni'matul Uzma


23 Disember 2023, Sabtu: AlhamduLillah...tahniah kepada kumpulan marhaban PSSCM; An Ni'matul Uzma kerana layak ke peringkat separuh akhir Pentas Marhaban TV Al-Hijrah.

Persembahan yang segar menarik dengan gaya para panglima telah memikat para juri dan pengacara. 

Teruskan usaha dan doa kita agar sampai ke peringkat akhir.

Disediakan oleh:

PSSCM Putrajaya @2023

 
 

Thursday 21 December 2023

Jom kita saksikan persembahan An Ni'matul Uzma @TV Al Hijrah


Pasukan marhaban yang dianggotai oleh ahli-ahli PSSCM; An Ni'matul Uzma akan beraksi di Pentas Marhaban TV Al Hijrah secara langsung. 


Tidak dinafikan kumpulan Ni'matul Uzma yang dianggotai oleh 10 pesilat PSSCM ini memberikan suatu pembaharuan dan unik dari segi pemakaian, corak persembahan yang membentuk persepsi positif bahawa ahli silat Melayu juga merupakan insan-insan berkebolehan dalam menyampaikan dakwah dalam bentuk kesenian dan budaya


Ayuh kita memberikan sokongan padu, berdoa agar pasukan ini memberikan persembahan yang menarik dan dapat terus mara ke pentas separuh akhir, Insya Allah.

Disediakan oleh:

PSSCM Putrajaya@2023