Sunday 24 February 2019

Program Jalinan Ukhwah PSSCM Lembah Kelang 2019, Putrajaya join sama



Sabtu, 23 Feb. 2019: Sg Lepoh, Hulu Langat Selangor. Program Jalinan Ukhwah PSSCM Lembah Kelang dan santai mandi sungai telah berjaya diadakan selama 2 hari. Program anjuran PSSCM Pusat Latihan Cheras ini dihadiri lebih 60 orang ahli PSSCM sekitar Lembah Kelang bersama kaum keluarga. 


Program dimulakan dengan acara bebas santai mandi sungai. Pada sebelah malam program BBQ dan bicara tokoh-tokoh telah diadakan dengan menampilkan 4 orang tokoh jemputan PSSCM dengan perkongsian topik khas antaranya;

Encik Shukri bin Janudin - PSSCM Putrajaya - Siapa Sebenar Panglima Ismail pada Silat Cekak?
Encik Sharuddin bin Yassin - PSSCM Putrajaya - Perkongsian Pengalaman Pentadbiran PSSCM
Haji Kamarul Ariffin bin Mohd Zainal Abidin- PSSCM Cheras -  PSSCM Zaman Krisis
En Safaran bin Ahmad - Naib Presiden 2 PSSCM - Cabaran PSSCM di Lembah Kelang 

Pada hari Ahad diadakan sukaneka khas yang cukup menghiburkan. Acara diterskan dengan mandi sungai dan makan tengahari sebelum bersurai.

Foto-foto menarik;



























Disediakan oleh:

Unit Media Strategik PSSCM Putrajaya, 2019

Saturday 23 February 2019

Mesyuarat Ahli Jawatankuasa PESAKA Putrajaya Bil 1/2019


Sabtu 23 Februari 2019. Mesyuarat PESAKA Putrajaya Bil 1/2019 yang dihadiri oleh wakil-wakil PSSCM Putrajaya dan juga wakil-wakil pendiri perguruan silat PESAKA. Mesyuarat pada petang ini diadakan di kediaman Presiden PESAKA Putrajaya @ Kajang; Senator Datuk Seri Khairuddin E.S Abd Samad.

Antara agenda yang dibincangkan adalah halatuju dan program PESAKA Putrajaya yang bakal diadakan sepanjang awal tahun 2019.



PSSCM Putrajaya merupakan ahli Pendiri PESAKA Putrajaya sejak Februari 2015. 

Disediakan oleh;

Biro Media Strategik PSSCM Putrajaya, 2019

Friday 22 February 2019

Silat Cekak: Fakta dan Sejarah Ringkas Perkembangannya di Malaysia





Artikel ini cuba menyelusuri sejarah ringkas asal-usul Silat Cekak berdasarkan fakta-fakta terkini dari segi kronologi, sanad dan nasab perguruan silat melayu ini.
 
Menyelusuri salasilah sejarah, Silat Cekak berasal dari negeri Kedah Darul Aman dan pernah diamalkan oleh para panglima kanan kesultanan Melayu di negeri tersebut, antaranya Panglima Ismail dan Panglima Tok Rashid (Ahmad, 1978). Berdasarkan kajian Janudin & Yusoff (2019; 2020), Panglima Ismail hidup sekitar abad ke 18 dan berkhidmat di bawah pemerintahan Sultan Dhiauddin Mukaram Shah hingga ke zaman Sultan Abdul Hamid Shah. 

Kajian mengenai kedua-dua panglima ini telah dilakukan secara komprehensif dan diprosidingkan di pelbagai seminar dan forum tempatan serta antarabangsa sebelumnya oleh beberapa penulis dari kalangan ahli-ahli Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) seperti Janudin (1998); Ismail (2002), Syazwan et al., (2015) dan Ahmad Amirulhaq et al., (2016).

Gerbang Kota Kuala Kedah era 1900an
Gerbang Kota Kuala kedah era 1950an

    Kajian-kajian tersebut menyatakan ilmu persilatan Silat Cekak telah diperturunkan di zaman Sultan Ahmad Tajuddin II (1804 - 1843) kepada Dato' Seri Paduka Raja Laksamana Wan Ismail bin Wan Muhammad Long (Laksamana) bin Wan Johan (Bendahara) atau lebih dikenali sebagai Panglima Ismail ketika berkecamuknya Perang Kedah - Thai (Siam Perut Hijau - suku thai / Sukhothai) yang dikenali sebagai Perang Musuh Bisik (1821 -1842).

    Menurut Othman (1990), empayar kesultanan Kedah memiliki barisan panglima yang handal dengan pelbagai kelebihan ilmu bela diri dan dianugerahkan gelaran-gelaran seperti Raja Laksamana dan Hulubalang Pahlawan. Laksamana merupakan jawatan Orang Besar Berempat dalam sistem hierarki kesultanan Kedah selain jawatan Bendahara, Temenggong dan Syahbandar. 

Menurut Othman & Azizi (2012), Laksamana merupakan seorang pembesar kanan istana yang telah dipertanggungjawabkan untuk menjaga pertahanan dan keselamatan negara dari ancaman musuh-musuh luar seperti gangguan lanun-lanun di Selat Melaka dan perairan Kedah, ancaman kerajaan Burma, pencerobohan Siam serta Inggeris, selain terlibat dalam urusan menjaga keselamatan di pelabuhan Kedah. 

Ilustrasi: Panglima Ismail juga dikenali Laxamana Ishmahel oleh Inggeris dan Siam

Peperangan selama 21 tahun antara Kedah - Sukhothai (1821 -1842) melibatkan ribuan pejuang dan panglima Melayu dari pelbagai pelusuk nusantara bagi membebaskan Kedah dari cengkaman penjajahan Siam. Setelah perang tamat, Panglima Ismail telah meneruskan perkhidmatannya sehingga ke zaman Sultan Abdul Hamid Shah dan mengakhiri perkhidmatannya dalam pentadbiran kesultanan Kedah dengan dianugerahkan tanah ampun kurnia serta jawatan sebagai Penghulu Mukim di Kerian pada 1882. 

Insiden amukan Batak

Sekitar tahun 1860an di zaman pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah (1854 - 1879) berlaku satu insiden amukan seorang pendekar Batak bernama Tuah di perkampungan Sungai Tok Tuntung, Kerian. Panglima Ismail ditugaskan oleh baginda sultan untuk menumpaskan pemberontakan tersebut dan berjaya. Tuah ditangkap dan telah dihukum sula serta dimakamkan di sebuah tanjung di kuala sungai Kerian. 

Foto perhimpunan para pembesar Melayu Kedah di Seberang Perai, Kedah sekitar tahun 1870an. Foto ini diambil oleh jurugambar dari syarikat Sachtler & Feilberg dari Beach Street, Pulau Pinang. 

Silat Cekak Berpindah Sanad

Sebelum beliau meletakkan jawatan sebagai Penghulu Mukim Kerian kerana faktor usia, ilmu persilatan Silat Cekak ini telah diwariskan kepada Panglima Tok Rashid yang berasal dari Sungai Daun, Yan, Kedah (Ahmad, 1978). Kajian Janudin & Yusoff (2019) menyatakan, Abdul Rashid bin Awang Lahat atau dikenali sebagai Tok Rashid telah dilantik menjadi Panglima Mukim dan diberi gelar Dato' oleh Sultan Abdul Hamid Shah (1881 - 1943) untuk menyelia tugasan penggalian projek terusan padi di mukim Yan yang dimulakan sejak 13 Ogos 1885 di bawah Sistem Kerahan yang dipanggil berderau

Namun ketika itu wabak taun, cacar dan malaria telah melanda negeri Kedah sehingga menyebabkan ramai yang terkorban. Sebagai langkah kuarantin, sultan mengarahkan agar mayat-mayat mangsa dikebumikan di pulau-pulau di pesisir laut Yan seperti Songsong, Bidan, Telur dan Bunting.

Setelah tamatnya projek pembinaan terusan ini pada 12 Julai 1896 dan setelah kematian Perdana Menteri Kedah; Dato' Wan Mat Saman pada 14 Disember 1898, Panglima Tok Rashid telah memohon perkenan dari baginda sultan untuk berhijrah ke Kerian dan beliau dikurniakan jawatan sebagai Penghulu Mukim sekitar awal tahun 1899.

Pemandangan bendang padi di kaki gunung Jerai, daerah Yan. Di kawasan ini dahulunya dijaga oleh Panglima Mukimnya; Panglima Tok Rashid bin Awang Lahat. 

Campurtangan langsung Inggeris

    Menurut Chandran (1971), pentadbiran negeri Kedah mula menerima campurtangan langsung dari Inggeris sepanjang tahun 1897 - 1900an. Kemuncak dari campurtangan ini,  Inggeris telah membuat sebuah perjanjian rahsia dengan Siam tanpa pengetahuan sultan iaitu Perjanjian Inggeris - Siam atau Perjanjian Bangkok pada 1909 yang menyebabkan kesultanan Kedah kehilangan beberapa wilayahnya kepada Siam seperti Sadow, Setul, kepulauan Teratau dan sekitarnya.  

Menurut Yusoff (1994) perjanjian ini turut membolehkan Inggeris memodenkan pasukan polis di negeri Kedah bagi menggantikan anggota keselamatan sultan. Akibatnya, peranan Temenggung, Laksamana, para Panglima Mukim serta hulubalang kesultanan Melayu Kedah semakin terpinggir. Para pembesar pula hanya terlibat dengan adat istiadat di istana sahaja. Campurtangan Inggeris semakin ketara apabila Kedah dipaksa menandatangani satu lagi Perjanjian oleh Inggeris pada tahun 1923 yang menjadikan Kedah negeri naungan Great Britain dengan menerima seorang Penasihat Inggeris sekaligus melemahkan sistem pentadbiran tradisional kesultanan dan bangsawan (Noor et al., 2016).

Amanah Silat Cekak diperturunkan 

Menyedari peranan para pembesar dan sistem pentadbiran tradisional tidak lagi mendapat tempat dalam pentadbiran negeri, Panglima Tok Rashid membuat keputusan mengamanahkan ilmu Silat Cekak ini seterusnya kepada Encik Yahya bin Said berasal dari Batu Kurau, Perak pada tahun 1925 dengan wasiat berbunyi;

"Jika ada anak cucuku di Kedah hendak belajar silat ini, hendaklah kau pulangkan kembali".

Selama 40 tahun silat ini dipendamkan sehinggalah YM. Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad yang berasal dari Kedah bertemu dengan Yahya Said. Oleh kerana minatnya yang amat mendalam terhadap silat ini, Y.M. Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad telah dapat mewarisi kembali silat ini daripada Yahya Said.

Tok Rashid telah meninggal dunia pada tahun 1943 sama tahun sepertimana kemangkatan Sultan Abdul Hamid ketika zaman pemerintahan penjajah Jepun. 


Yahya Said

Kelahiran Semula dan Perkembangan Awal Silat Cekak (1965 - 1970)

Pada 5 Ramadhan 1385 Hijrah, bersamaan 28 Disember 1965, bertempat di rumah Shafie Darus, Batu 4 3/4, Jalan Gunung Alor Setar, Kedah; Silat Cekak berjaya dilahirkan kembali menerusi Perkumpolan Seni Sari Budaya Sri Kedah (PSSBSK) yang ditubuhkan pada Februari 1964. Yahya Said telah dilantik menjadi Guru kepada silat ini pada 1 Januari 1966. Menurut Aziz, (2014); Janudin et al., (2017) dan Janudin (2018), perkembangan Silat Cekak ketika itu amat selari dengan dasar Gerakan Maju yang dilancarkan oleh kerajaan pimpinan YM Tunku Abdul Rahman pada 15 Mac 1966 ketika itu.

Logo Seni Silat Chekak Kedah Malaysia, 1967

    Pada tahun 1967, Silat Cekak didaftarkan sebagai Persatuan Seni Silat Chekak Kedah Malaysia (Ahmad, 1978) dan berkembang ke Seberang Perai beberapa minggu selepas Peristiwa Hartal pada November 1967 (Bloodworth, 2010; Janudin et al., 2017; Janudin, 2018). Menurut Janudin et al., (2017) dan Janudin (2018) perkembangan Silat Cekak di negara ini sepanjang era 1960an terpaksa melalui zaman-zaman yang dipenuhi oleh pelbagai konflik politik, ekonomi dan keselamatan samada dari dalam dan luar negara.

       Silat Cekak di Kuala Lumpur (1970 - 1986)

    Pada awal tahun 1970 beberapa bulan selepas insiden berdarah 13 Mei 1969, Ustaz Hanafi telah berhijrah ke Kuala Lumpur. Di sana beliau telah mendapat kerjasama dari komuniti pemuda Bawaen atau Putra di bawah Persatuan Bawean Selangor (PBS) di Kampung Bumiputera, Datuk Keramat untuk bertapak dan menjalankan aktiviti-aktiviti Silat Chekak di kota ini (Ahmad, 1978; Janudin et al., 2017; Janudin, 2018).  


Ustaz Hanafi bersama anak muridnya

    Pada 19 Ogos 1971, PSSCKM telah didaftarkan sebagai Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) di bawah Akta Pertubuhan 1966 (PSSCM, 1976). Nama Chekak kemudian ditukar kepada Cekak selari dengan dasar pemodenan ejaan bahasa Melayu ketika itu (Ramlah & Hajah, 2014; Janudin et al., 2017; Janudin, 2019). 


Logo Silat Cekak digunakan pada uniform silat tahun 1970an

    Di Kuala Lumpur, PSSCM berkembang penuh warna warni dengan kehidupan kota pasca insiden 13 Mei 1969. Kepesatan pembangunan di Kuala Lumpur (Besar et al., 2014) turut membantu perkembangan PSSCM di beberapa buah pusat pengajian tinggi di Lembah Kelang berselari dengan mood Dasar Ekonomi Baru - DEB dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan - DKK (Janudin et al, 2017; Janudin, 2018).



Menjelang sambutan sedekad Silat Cekak, pelbagai pembaharuan diperkenalkan pada PSSCM antaranya sebuah logo baru, pantun lapan rangkap. Malah Ustaz Hanafi turut memperkenalkan tagline Silat Cekak Silat Papan Sekeping pada 2 Mac 1975 semasa pertunjukkan di Stadium Negara (PSSCM, 1975). Beberapa pembaharuan lain turut diperkenalkan semasa sambutan Sedekad Silat Cekak yang diadakan di Padang Sultan Sulaiman Kampung Baru, Kuala Lumpur (PSSCM, 1976). 

Logo Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia, 1975 - kini

Sambutan Sedekad Silat Cekak pada tahun 1975

Perbarisan Sedekad PSSCM pada tahun 1975 

Silat Cekak Bersambung Sanad (1986 -2009) 

Ustaz Hanafi telah meninggal dunia pada 13 Ogos, 1986 setelah menerajui PSSCM dan mengembangkan silat ini ke seluruh negara selama 21 tahun. Sanad dan tanggungjawab menggalas kepimpinan PSSCM diteruskan pula oleh Y.M. Haji Ishak bin Itam selaku Guru Utama merangkap Presiden PSSCM yang baharu pada 21 September, 1986. 



YM Tn Hj Ishak bin Itam bergambar semasa Sambutan 21 tahun PSSCM



Kesinambungan Sanad Silat Cekak (2009 - kini)

Majlis pengijazahan penuntut baru pertama kali dilakukan oleh beliau di Universiti Pertanian Malaysia (UPM) pada 13 Oktober 1986. Y.M. Haji Ishak Itam terus menerajui PSSCM sehingga beliau menyerahkan pucuk pimpinan Silat Cekak kepada Y.M. Datuk Haji Maideen Bin Kadir Shah pada 3 Jun 2009 dan secara beradat pada 23 Jun 2009. 



    Kini PSSCM diterajui oleh Y.M. Datuk Haji Maideen Bin Kadir Shah. Di bawah kepimpinan beliau, PSSCM terus mencipta pelbagai lakaran sejarah antaranya Sambutan 50 tahun PSSCM (1965 - 2015), memperjuangkan pengiktirafan silat sebagai seni warisan bangsa, benteng ketiga pertahanan negara, seni beladiri rasmi negara dan sebagainya.

* Peringatan... 

Penulisan artikel ini adalah berdasarkan kepada kajian-kajian terhadap sumber-sumber dokumentasi ilmiah yang telah dibentangkan di dalam pelbagai seminar dan prosiding di peringkat nasional serta antarabangsa. Justeru segala penceritaan artikel ini dan hak ciptanya adalah asli, "original" dan "novelty" serta menjadi hak milik PSSCM Putrajaya. Sebarang salinan semula artikel ini dalam apajua medium samada penulisan atau percetakan, bahan audio - video serta pertuturan perlu memberikan "credit" atau "citation" kepada para penulisnya, pihak PSSCM dan PSSCM Putrajaya. 

Rujukan

Ahmad Amirulhaq M.A., Nur Fasihah I, Mohd Rodzi A.R & Muhammad Aluwi I (2016). Sumbangan dan Peranan Panglima Kanan Dalam Siri Peperangan Kedah Siam: Zaman Kesultanan Ahmad Tajuddin II dlm Kolokium Seni Silat Cekak Malaysia (KOSSCEM) 2016. Pulau Pinang: PSSCM USM.

Ahmad H.H. (1978) Hanafi Hj Ahmad dan Seni Silat Cekak. Kajian Tahun Akhir, Ijazah Sarjana Muda Sastera. Universiti Malaya, (tidak diterbitkan).

Besar, J. A., Fauzi, R., Ghazali, A. S., Ghani, M. H. A., & Baharum, Z. A. (2014). Kuala Lumpur dan Cabaran Baru Pembangunan Berterusan dlm GEOGRAFIA OnlineTM Malaysian Journal of Society and Space.

Bin Adil, B. (1980). Sejarah Kedah. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pelajaran, Malaysia.

Bloodworth, D. (2010). Part Six: People’s Revolutionary War - The Arms Struggle (Repeat Performance) in the tiger and the Trojan horse. Marshall Cavendish International Asia Pte Ltd.

Chandran, J. (1971). Perjanjian 1909 antara Inggeris dengan Siam serta Latar Belakangnya. Jebat: Malaysian Journal of History, Politics & Strategic Studies.

Ismail, A. M. (2002). Penerapan jati diri melalui ilmu bela diri: Pendekatan Seni Silat Cekak Malaysia. Prosiding Persidangan Kebangsaan Kerja Sosial 2002: Belia & NGO dalam kerja sosial: Isu peranan dan strategi.

M. Syazwan Y., et al. (2015). Kajian Awal Kesahihan Sejarah Panglima Ismail melalui Kaedah Pembuktian Dokumentasi dlm. Kolokium Seni Silat Cekak Malaysia (KOSSCEM) Ed.3 Pulau Pinang: PSSCM.

Noor, M., Ain, N., Rus, M., & Ariffin, A. K. (2016). Dari Aristokrat ke Golongan Marhaen: Peranan orang Melayu dalam Pentadbiran Kedah, 1909-1941 dlm Prosiding Persidangan Sejarah Sosioekonomi Malaysia, 23-24 November 2016, Perubahan Pencapaian dan Cabaran. Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya. 

Othman, M. S., &  Aziz, A. Y. A. (2012). Undang-undang Pelabuhan Kedah dari Perspektif Sejarah dan Budaya (Kedah Port Laws from the Historical and Cultural Perspectives).

Othman, M. I. (1990). Politik tradisional kedah: 1681-1942. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia.

PSSCM (1975). Suara Cekak Bil 1. Kuala Lumpur: Terbitan PSSCM.

PSSCM (1976). Suara Cekak Bil 2. Kuala Lumpur: Terbitan PSSCM.

Ramlah, A., & Hajah, D. P. D. D. (2014). Pendaulatan bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu di Malaysia: sejarah dan kedudukan masa kini.

Shukri J. (1998). Seni Silat Cekak Malaysia Warisan Mutlak Bangsa Melayu. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia. 

Shukri J., Zaimilah Y., M. Surat (2017). Sedekad Perkembangan Silat Cekak (1965 – 1975): Sumbangan Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) dalam Pembangunan Insan, Masyarakat dan Negara dlm Kolokium Seni Silat Cekak Malaysia (KOSSCEM) 2017. Pulau Pinang: PSSCM USM. 

Shukri J. (2018). Peranan Seni Silat Cekak Malaysia Dalam Pembangunan Seni Warisan Budaya Melayu Sepanjang Era 1965 – 1975 dlm. 8th International Conference on Local Knowledge (ICLK). Penang: Universiti Sains Malaysia.

Shukri J., & Zaimilah Y (2019). Tokoh Pahlawan Kedah: Dato' Seri Paduka Laksamana  Wan Ismail serta perkaitannya dengan Panglima Ismail dan Panglima Tok Rashid Panglima Pembawa Silat Cekak dalam Persejarahan Negeri Kedah 1800 - 1925 dlm I-Cosbit. Kedah:  Universiti Teknologi Mara. 

Syazwan M, Murni Idayu M.A, Nurulhuda A.R, Nurli Haniyyah A.H, Aimi Alwani M.A & Wan Mohd Dhaiyuddin Helmy W.M (2015). Kajian Awal Kesahihan Sejarah Panglima Ismail melalui Kaedah Pembuktian Dokumentasi dlm Kolokium Seni Silat Cekak Malaysia (KOSSCEM) 2015. Pulau Pinang: PSSCM USM.

Yusoff, H. (1994). Pasukan Polis di Negeri-Negeri Melayu (1870-1941). Persatuan Sejarah Malaysia.

Akhbar

Jenazah Guru Utama Silat Cekak dikebumikan - Ishak Itam meninggal akibat sakit tua, Berita Harian, 14 Mac 2012.

#silatcekak #kedah #cekak #melayu #psscm #sejarah #55tahunsilatcekakmalaysia #silatcekakmalaysia

Disediakan oleh;

Unit Media Strategik PSSCM Putrajaya @2019































Sunday 17 February 2019

PSSCM Putrajaya @ Seminar Tamadun Alam Melayu 2019 anjuran PSSCM Seberang Perai


16 Februari 2019, Sabtu. Seberang Perai. PSSCM Putrajaya telah menghantar 4 orang wakilnya untuk menyertai Seminar Tamadun Alam Melayu anjuran PSSCM Cawangan Seberang Perai.

Program ini adalah bersempena Sambutan Perayaan Jubli Emas 50 Tahun PSSCM Cawangan Seberang Perai dengan kerjasama Majlis Perbandaran Seberang Perai. Majlis yang diadakan di Auditarium Majlis Perbandaran Seberang Perai, Bandar PERDA Bukit Mertajam ini dihadiri lebih dari 160 orang peserta yang terdiri dari kalangan ahli PSSCM dan masyarakat awam telah dirasmikan oleh YB Nurul Izzah binti Anwar; Ahli Parlimen Permatang Pauh.


YAB Nurul Izzah dalam ucapan perasmiannya menyatakan;

"Saya tekankan bahawa silat cekak bukanlah sekadar seni mempertahankan diri semata mata, tetapi mempunyai satu wadah untuk membentuk jati diri dan keperibadian seseorang itu sendiri. Semoga seni silat cekak melayu akan terus dirgahayu, menjadi identiti bangsa yang mampu kita warisi dan hargai..."


Seminar ini dibentang oleh; 

Y.Bhg Encik Dahlan bin Fazil; Unit Pelancong Seni dan Warisan Majlis Perbandaran Seberang Perai . Tajuk: Sejarah Seberang Perai.

Y.Bhg Dr. Ar Mastor Surat; Fakulti Kejuruteraan Alam Bina UKM. Tajuk: Perlambangan Tauhid Dalam Peradaban Melayu Sebelum Islam.

Y.Bhg Prof. Dr. Abdul Mua'ti @Zamri Ahmad; Dekan Jabatan Bahasa Moden dan Komunikasi UPM. Tajuk: Teknologi Alam Melayu Dalam Bidang Persenjataan.






Kredit foto: PSSCM CSP

Disediakan oleh;

Unit Media Strategik PSSCM Putrajaya @2019