Tuesday 1 March 2011

Silat Cekak Silat Papan Sekeping...Ilham Pengasas PSSCM; Ustaz Hanafi Haji Ahmad, Mac 1975


2 Mac 2011..Info Cekak: Silat papan sekeping adalah nama lain bagi Seni Silat Silat Cekak Malaysia. Nama ini diberikan sendiri oleh Almarhum Ustaz Hanafi bin Haji Ahmad; pengasas dan pemimpin Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) sejak tahun 1975 yang diperkenalkan semasa Konvensyen Guru-Guru Silat Melayu di Kuala Lumpur.  

Sebelum itu beberapa pembaharuan telah diperkenalkan oleh Almarhum Ustaz Hanafi kepada Silat Cekak antaranya melakukan pertukaran nama dari Persatuan Seni Silat Chekak Kedah Malaysia (PSSCKM) kepada Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) dan didaftarkannya di bawah Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) dengan nombor pendaftaran 973 - Selangor pada 19 Ogos 1971 dengan PSSCM mempunyai Perlembagaannya sendiri sepertimana disyaratkan oleh Akta Pertubuhan 1966. 


Ustaz Hanafi telah berfikiran jauh ke depan dengan menukarkan ejaan nama Chekak kepada Cekak bagi mengikuti usaha pemodenan Bahasa Malaysia berdasarkan Pedoman Umum Ejaan Rumi Baru Bahasa Malaysia yang sedang dirancang untuk diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia dan Indonesia pada tahun berikutnya iaitu 16 Ogos 1972.

Di dalam majalah Suara Cekak telah dinukilkan fakta berikut...

Pada 2hb Mac.1975 di Stadium Negara di hadapan ribuan peminat silat di sekitar bandaraya, PSSCM telah memperkenalkan perkataan 'SILAT CEKAK SILAT PAPAN SEKEPING' dengan kaedah-kaedah yang mara ke hadapan. 


Sebenarnya 'Silat papan sekeping' lahir bersama-sama namanya yang asli 'SILAT CEKAK'. Perkataan tersebut membawa maksud silat Cekak yang asli dengan kaedah-kaedah yang mara ke hadapan saja (tidak mengelak ke kiri dan ke kanan) boleh digunakan untuk mempertahankan diri di tempat yang sempit walaupun diatas titi papan sekeping.

Seterusnya majalah Suara Cekak turut menjelaskan;

Untuk menjadi pedoman pada orang ramai yang mencari Silat Cekak yang asli, maka PSSCM telah memperkenalkan perkataan 'SILAT PAPAN SEKEPING'. Disamping itu Silat Cekak yang sebenarnya hanya diajar melalui PSSCM yang dipimpin sendiri oleh Guru Utamanya YM Ustaz Hanafi.





Dengan adanya pengenalan tagline Silat Cekak Silat Papan Sekeping ini telah mengukuhan lagi jenama dan kedudukan PSSCM sebagai sebuah badan silat Melayu di Kuala Lumpur dan negara di bawah kepimpinan YM Ustaz Hanafi bin Haji Ahmad yang ketika itu sedang merancang untuk mengadakan perayaan 10 tahun PSSCM pada 28 Disember 1975.


Kini setelah 36 tahun berlalu nama Silat Cekak Silat Sekeping tetap terpahat dalam lipatan sejarah Seni Silat Cekak Malaysia dan kehebatan pengasasnya; Almarhum Ustaz Hanafi bin Haji Ahmad. Kesinambungan ilmu Seni Silat Cekak Malaysia diteruskan oleh Tuan Haji Ishak bin Itam (1986 - 2009) dan kini oleh YM Datuk Haji Maideen bin Kadir Shah (2009 - kini). 

Foto 28 Disember 1975 sewaktu Perayaan 10 Tahun PSSCM, Kuala Lumpur


Demonstrasi Silat Cekak pada tahun 1983 menghadapi musuh-musuhnya di atas sekeping papan 


Silat Cekak berdiri lurus umpama berdiri di atas sekeping papan 


Tempur di atas papan sekeping: Salah satu ciri persembahan demonstrasi dalam Seni Silat Cekak Malaysia 

Infografik Silat Cekak Silat Papan Sekeping





Sumber:

  1. Ahmad, H.H. (1978). Silat Cekak dan Hanafi Haji Ahmad, Tesis Akhir Tahun Fakulti Saster Universiti Malaya, 47-88.
  2. Ramlah, A., & Hajah, D. P. D. D. (2014). Pendaulatan bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu di Malaysia: sejarah dan kedudukan masa kini, 11-12. 
  3. Muhammed Sallehuddin Aman (2016) Sipnosis Sistem Ejaan Bahasa Melayu
  4. PSSCM (1975) Suara Cekak Bilangan 1, Kuala Lumpur: PSSCM, 30-31. 
  5. PSSCM (1976)  Suara Cekak Bilangan 2, Kuala Lumpur: PSSCM, 19, 23
Disediakan oleh;

Unit Penerangan dan Media PSSCM Putrajaya @ 2011










No comments: