Thursday 3 December 2015

Silat Cekak: Persembahan Seni Silat Cekak di Alor Setar, Kedah tahun 1966


Kami kongsikan sebuah poster lama Silat Cekak bertulisan jawi yang ditulis oleh YM Almarhum Ustaz Hanafi bin Haji Ahmad; Pengasas dan Guru Utama Silat Cekak.

Poster ini merupakan yang pertama dikeluarkan oleh almarhum untuk memperkenalkan Silat Cekak di Kedah secara besar-besaran menerusi pesta drama dan tarian. Ia juga merupakan siri demonstrasi besar-besaran setelah ramai ahli kumpulan perintis tamat belajar Silat Cekak sejak silat ini dihidupkan semula pada 28 Disember 1965 sebelumnya. Hasil promosi besar-besaran oleh ahli-ahli Cekak tersebut menyebabkan jualan tiket untuk menyaksikan pertunjukan tersebut banyak dijual dan panggung wayang tersebut sesak dengan para penonton.

Kesan dari pertunjukan kelas tersebut juga telah membolehkan kelas kedua Silat Cekak di bawah Perkompulan Seni Sari Budaya Seri Kedah (PSSBSK) berjaya dibuka di Alor Merah dan kelas ketiga di Telok Wan Jah, Alor Setar.  

Poster ini diedarkan di bandar dan di kampung-kampung sekitar Alor Setar, Kedah pada tahun 1966 yang lampau. Dalam poster ini terdapat gambar YM Ustaz Hanafi bersama rakannya menunjukkan beberapa buah Silat Cekak.

Berikut adalah maksud tulisan pada poster tersebut;  

"Ini dia persembahan istimewa pertunjukkan khas dihidupkan semula setelah lenyap lebih 50 tahun. Perkumpulan Seni Sari Budaya Seri Kedah dengan rasa syukur dan bangga mempersembahkan seni asli pusaka bangsa Silat Kedah atau Silat Cekak silat Melayu asli berasal dari negeri Kedah lain dari yang lain. Istimewa dengan sejarah, kaedah dan falsafah tersendiri. Saksikanlah satu-satunya silat Melayu yang sanggup menghadapi dan setanding dengan sebarang jenis silat antarabangsa;

* gerak tangkis dan gerak menyerang
* dilakukan berdasarkan ibadat sembahyang
* dengan tauhid menjadi lambang

Dipertunjukkan oleh ahli seni silat Perkumpulan Seni Sari Budaya Seri Kedah bersama-sama dengan pesta dan pertandingan drama dan tarian Melayu tahun 1966 di Panggung CATHAY, Alor Setar pada 13 September 1966 jam 8.00 malam"

Sumber;

PSSCM (1975). Suara Cekak Bil 1 1975, Kuala Lumpur hlm 10-11.

Disediakan oleh:

Unit Media dan Dokumentasi PSSCM Putrajaya, 2015

No comments:

Post a Comment