Sunday 31 December 2017

Sambutan Ulangtahun ke 5 Wanita Cekak PSSCM di Ambang Tahun Baru 2018


Ahad, 31 Disember 2017, Kuala Lumpur: Seramai 10 orang ahli PSSCM Putrajaya telah menghadiri program Majlis Sambutan Ulangtahun Ke-5 Wanita Cekak PSSCM (WCP) dan Pengisytiharan Pengerusi Baru WCP bersempena juga menyambut Ambang Tahun Baru 2018 di Bangunan Silat Cekak, Sentul Kuala Lumpur.


Di dalam majlis tersebut isteri Naib Presiden 2 PSSCM; Hajjah Parimah bte Hj Idon telah dilantik sebagai Pengerusi WCP yang baru menggantikan Allhyarhamah Pn Rozidah bt Abdul Wahab yang kembali ke rahmatullah pada 17 Oktober 2017 lalu.


Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran YMDGU dan Datin serta kira-kira 180 orang ahli PSSCM Ibu Pejabat dan Selangor. Ahli-ahli PSSCM kemudiannya telah menikmati pemandangan indah Kuala Lumpur bermandikan cahaya bunga api menyambut Tahun Baru 2018.

Semoga WCP terus mara memperkasakan Wanita PSSCM. Hidup Cekak!!! 

Untuk maklumat lanjut layari; 

https://www.facebook.com/cekakmalaysia/videos/1584171491665596/

#silatcekak








Disediakan oleh;

Unit Media PSSCM@2018

Wednesday 27 December 2017

28 Disember 2017: Ulangtahun ke 52 Tahun Silat Cekak.



Khamis 28 Disember 2017...Hari ini genap 52 tahun lahirnya Silat Cekak di alam nyata. Mengimbau kembali sejarah Silat Cekak diketahui bermula apabila ceritakan oleh seorang pemegang amanah silat ini iaitu Encik Yahya bin Said yang telah menyimpan silat ini selama 40 tahun berdasarkan amanah dari seorang panglima kanan kerajaan Melayu Kedah pada tahun 1925 iaitu Panglima Tok Rashid. 



Ilmu silat ini pernah diamalkan oleh panglima-panglima kanan kesultanan Melayu Kedah antaranya dikenali sebagai Panglima Ismail sekitar tahun 1804-1864 bagi mempertahankan kedaulatan negeri Kedah dari pencerobohan asing terutamanya pihak Siam di zaman Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah pada 1854 hingga 1879 (Syazwan et. al, 2015).

Silat ini akhirnya diwarisi dan dihidupkan semula oleh YM Ustaz Hanafi bin Haji Ahmad melalui Encik Yahya Said pada 28 Disember 1965 di Alor Setar, Kedah  bersamaan 5 Ramadhan 1365H. Silat Cekak telah mula digerakkan di bawah Perkumpulan Seni Sari Budaya Sri Kedah (PSSBSK) pada awal tahun 1966 (Ahmad, 1978).

Hakikatnya, Silat Cekak telah lahir ketika keadaan Malaya pasca kemerdekaan yang penuh dengan pelbagai cabaran dan rintangan sosio politik seperti ancaman keselamatan, kemelesetan ekonomi, kemiskinan dan masalah buta huruf di kalangan rakyat namun silat ini terus berkembang berkat kesabaran dan kepimpinan pengasasnya; Ustaz Hanafi bin Haji Ahmad (Shukri et. al, 2017).


Kempen pertunjukkan Silat Cekak pada September 1966 di pawagam Cathay Alor Setar, Kedah.

Kelahiran dan perkembangan Silat Cekak perlu dihayati oleh kita semua menerusi serangkap pantun ciptaan YM Ustaz Hanafi yang penuh tersurat dan tersirat berikut;

Lahirnya Cekak Kerana Kesedaran
Bukan Bermusuh Sebagai Tujuan
Untuk Mendaulat Seni Kebangsaan 
Mensesuai Dengan Makna Kemerdekaan  

Pantun Silat Cekak (PSSCM, 1975)


YM Almarhum Tuan Haji Ishak bin Itam; Guru Utama dan Presiden PSSCM ke 2 

YM Datuk haji Maideen Kadir Shah; Guru Utama dan Presiden PSSCM ke 3


Kini Silat Cekak terus berkembang maju bersama Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) di bawah kepimpinan YM Datuk Haji Maideen Kadir Shah; Guru Utama dan Presiden ke - 3 PSSCM menggantikan YM Tuan Haji Ishak Itam; Guru Utama dan Presiden PSSCM ke - 2 (1986-2009).  



Rujukan

M. Syazwan Y, Murni Idayu M.A, Nurulhuda A.R, Nurli Haniyyah A.H, Aimi Alwani M.A & Wan Mohd Dhaiyudeen Helmy W.M (2015). Kajian Awal Kesahihan Sejarah Panglima Ismail melalui Kaedah Pembuktian Dokumentasi. Kolokium Seni Silat Cekak Malaysia (KOSSCEM) Ed.3, 2 Mei 2015. Pulau Pinang: Penerbit PSSCM Universiti Sains Malaysia, 49-52. 

Ahmad, H.H (1978). Hanafi Hj Ahmad dan Seni Silat Cekak. Tesis Tahun Akhir, Ijazah Sarjana Muda Sastera. Universiti Malaya, (tidak diterbitkan), 47-52.

Shukri J., Zaimlah Y., & M. Surat (2017). Sedekad Perkembangan Silat Cekak (1965 - 1975): Sumbangan Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) dalam Pembangunan Insan, Masyarakat dan Negara. Kolokium Seni Silat Cekak Malaysia (KOSSCEM) Ed. 5, 22 April 2017. Pulau Pinang: Penerbit PSSCM Universiti Sains Malaysia, 123-128.

PSSCM (1975). Suara Cekak Bilangan 1 Tahun 1975. Kuala Lumpur: PSSCM, 58.

Disediakan oleh;

Unit Media PSSCM Putrajaya @ 2017

Friday 22 December 2017

Perhimpunan Solidariti Bebaskan Baitulmaqdis ... PSSCM Nyatakan Sokongan


PUTRAJAYA, Jumaat 22 Disember 2017... PSSCM melalui PESAKA Malaysia telah memberikan sokongan kepada Perhimpunan Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis yag diadakan di Masjid Putra, Putrajaya. Program perhimpunan ini disertai hampir 12,000 umat Islam mewakili 250 buah NGO termasuk wakil-wakil dari PSSCM Putrajaya.


Program dimulakan dengan forum berkenaan isu Palestine diikuti dengan khutbah Jumaat yang disampaikan oleh  Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri yang menyeru umat Islam mencontohi perjuangan Sallehudin Al Ayyubi yang berjaya membebaskan Baitulmaqdis kerana keimanan dan kesatuan umat Islam. Beliau seterusnya menyeru agar umat Islam bersatu memberikan sokongan kepada perjuangan umat Palestin. 




Majlis diteruskan dengan ucapan YAB Perdana Menteri; Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyeru agar umat Islam tanpa mengira perbezaan ideologi agar terus memberikan sokongan kepada perjuangan membebaskan Palestine. Nada yang sama turut ditegaskan oleh Ketua Pemuda Parti PAS; Khalil Abd Hadi. Turut hadir perhimpunan ini Duta Palestin ke Malaysia, Datuk Dr Anwar Al Agha.





YAB Timbalan Perdana Menteri; Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut menyatakan bahawa isu Palestine akan tetap menjadi keutamaan kepada rakyat Malaysia terutamanya umat Islam dan perhimpunan yang sama akan dibuat di seluruh negara kelak sebagai tanda sokongan berterusan negara dan rakyat terhadap isu ini. 








PSSCM turut membawa dua bidang banner khas yang menzahirkan doa menyokong perjuangan Palestine menentang zionis dan turut menyertai ribuan peserta menandatangani kain rentang yang disediakan penganjur bagi menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada perjuangan rakyat Palestine. 


Penglibatan PSSCM di dalam perhimpunan ini jelas menunjukkan bahawa ahli-ahli PSSCM turut prihatin terhadap isu Palestine dan sebagai tanda sokongan sebuah persatuan silat Melayu di dalam usaha-usaha penyatuan ummah.


















Semoga perjuangan rakyat Palestine mendapat keberkatan dari Allah swt ...Amiin, Syabas PSSCM diatas penyertaan ini. 




Disediakan oleh;

Unit Media PSSCM Putrajaya@2017