Saturday 20 February 2016

Silat Cekak: Program Seminar Mencari Melayu anjuran PSSCM USM ...Hebat!!!


Sabtu, 20 Februari 2016: Pulau Pinang: Tim PSSCM Putrajaya telah menghadiri Program Seminar Kenegaraan dan Peradaban Berteraskan Maqasid Syariah yang dianjurkan bersama oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang dan PSSCM Pulau Pinang bertempat di Dewan Budaya, USM.

Program yang julung-julung kali diadakan ini mengambil tema Mencari Melayu dengan menampilkan barisan penceramah yang pakar di bidang masing-masing antaranya;

  1. Prof. Madya Dr Zafarina Zainuddin - Pusat Pengajian Sains Kesihatan USM 
  2. Prof. Dato' Seri Dr. Md. Salleh Yaapar - Penyelaras Operasi, Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CENPRIS),(USM)
  3. Dr Mastor Surat - Felow Kanan Fakulti Seni Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
  4. Tuan Idris Ahmad - Penceramah JPM 
  5. Encik Johan Iskandar; Pensyarah dan Penggiat Seni Budaya 


Majlis ini dirasmikan oleh Prof. Dr Adnan Hussein Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM dan dihadiri lebih 500 orang peserta.


Kesemua penceramah ini telah mengungkap tentang keagungan bangsa Melayu sebagai bangsa yang bertamadun sejak ribuan tahun dahulu dengan membina empayar yang luas di Pentas Sunda yang kini dikenali sebagai Nusantara. 

Menurut Dr Zafarina, orang Melayu memiliki DNA yang asli dan dibuktikan melalui kajian ilmiah dan saintifik bahawa nenek moyang mereka berasal dari wilayah Asia Tenggara bukannya golongan pendatang luar. 




Prof Dr Salleh Yaapar pula menyatakan kehebatan pahlawan dan peradaban Melayu silam telah berjaya mengharumkan nama bangsa Melayu sehingga ke empayar China, India dan Eropah. Ilmu-ilmu orang Melayu telah ditiru kerana keistimewaan dan keunikkannya. Namun kebanyakkannya sengaja dihilang dan disorok oleh para penjajah yang ingin memperlekehkan kehebatan bangsa Melayu.

Encik Idris dari JPM pula telah memberikan definisi jelas tentang identiti, hak dan keistimewaan Melayu menurut Perlembagaan Persekutuan dan perundangan negara. Beliau turut menjelaskan sebagai warganegara dan penduduk asal serta majoriti mereka harus mempertahankan keselamatan dan keharmonian negara dengan menjunjung tinggi institusi Raja Berpelembagaan.





Pada sesi petangnya, Encik Johan Iskandar pula memberikan ceramahnya mengenai ketinggian budaya bangsa Melayu dari segi adab, adat dan budaya pemakaian dalam masyarakat Melayu yang amat unik dan penuh simbolik melambangan ketinggian falsafah budi dan daya masyarakat Melayu.


Sesi akhir menampilkan ceramah disampaikan dari Dr Mastor Surat yang menerangkan kehebatan sejarah tamadun Melayu dari aspek seni bina, persenjataan, teknologi dan budaya yang menunjukkan bahawa bangsa Melayu adalah bangsa yang agung dan bertamadun tinggi.


Seminar disampaikan secara santai dan diselang-selikan dengan persembahan-persembahan silat dan puisi menjadikan ia segar dan menarik.

Seminar ini berjaya merapatkan hubungan silaturahim di kalangan peminat sejarah dan busana Melayu apabila majoriti peserta mengenakan busana, berbaju Melayu dan kurung lengkap bagi mengimbau nostalgia silam. Selain itu penglibatan golongan mahasiswa dalam seminar ini telah dapat menambahkan ilmu mereka mengenai sejarah dan peradaban Melayu yang penting bagi pembinaan jati diri mereka.

Tahniah PSSCM USM diatas penganjuran seminar berpretij ini.

Disediakan oleh:

Unit Media PSSCM Putrajaya @2016