Abstrak
Institusi Raja Berperlembagaan yang diamalkan Malaysia merupakan sebuah sistem pemerintahan yang unik di dunia. Keunikan tersebut berfungsi sebagai tunjang kepada perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama serta keselamatan di negara ini. Di dalam mempertahankan keutuhan dan kelangsungan institusi tersebut, komuniti seni silat Melayu juga memainkan peranan yang penting sepanjang zaman sejak dahulu hingga kini secara langsung atau tidak langsung. Kertas kerja ini akan memfokuskan kedinamikan peranan komuniti Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) di dalam melaksanakan tanggungjawab sosialnya mendaulatkan Institusi Raja Berperlembagaan demi memelihara keselamatan negara. Peranan tersebut dapat memenuhi aspirasi negara berdasarkan beberapa pengiktirafan yang telah diberikan oleh kerajaan terhadap fungsi silat yang berjaya mengukuhkan perpaduan di kalangan masyarakat agar terus mempertahankan teras pemerintahan dan kestabilan negara ini.
Kata kunci: Kedinamikan, Raja Berperlembagaan, komuniti, Silat Cekak, keselamatan.
Pengenalan
Sekian lama ilmu seni silat memainkan peranan penting di dalam kehidupan orang-orang Melayu termasuk di dalam mempertahankan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu serta keselamatan negara. Namun sumbangan tersebut seringkali dipandang remeh oleh segelintir masyarakat yang melihat silat sebagai hiburan, budaya lapuk ketinggalan zaman, ilmu gaduh yang boleh mencetuskan permusuhan, bersifat perkauman dan penuh mistik hinggakan diragui iktikadnya oleh masyarakat. Malah fungsi silat sebagai ilmu pertahanan juga dianggap tidak lagi relevan kini lantaran peranan tersebut telah diambil-alih oleh institusi-institusi keselamatan negara yang sifatnya lebih moden, strategik serta kukuh dari segi perundangan, pengurusan, logistik dan persenjataan. Kesan dari tanggapan-tanggapan negatif tersebut, masyarakat menjauhi ilmu persilatan dan menafikan sumbangan institusi tersebut sejak zaman silam. Kajian ini akan membincang kedinamikan peranan komuniti PSSCM sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) di dalam usaha mempertahankan kedaulatan Institusi Raja Berperlembagaan yang menjadi pelindung kepada agama Islam, umat Melayu serta rakyat di negara ini. Peranan-peranan tersebut menjadi tanggungjawab sosial warga PSSCM di dalam mempertahankan sistem pemerintahan demokrasi negara ini. Peranan silat semakin penting apabila diberikan pengiktirafan oleh kerajaan antaranya sebagai Seni Warisan Negara, Benteng Pertahanan Ketiga Negara, Seni Beladiri Rasmi Negara dan kini semakin berkembang melalui perlaksanaan program 1 Sekolah 1 Silat di sekolah rendah dan menengah seluruh negara. Penyelidikan konseptual berbentuk kajian kes ini menggunakan kaedah penyelidikan kualitatif dengan penggunaan data primier seperti temuramah bersemuka bersama para penggerak dari kalangan ahli-ahli PSSCM selain penelitian terhadap data-data sekunder seperti tesis penyelidikan, jurnal dan laporan akhbar bagi melihat perkaitan ilmu silat dengan usaha mendaulatkan institusi Raja Berperlembagaan serta hubungannya dengan aspek keselamatan negara. Kertas kerja ini boleh menjadi perintis kepada kajian-kajian komprehensif selanjutnya bagi membuktikan ilmu persilatan turut terlibat di dalam proses mendaulatkan institusi Raja Berperlembagaan yang menjurus kepada pemeliharaan keselamatan negara ini.
Kertas kerja ini telah ditulis oleh Tuan Shukri bin Janudin PSSCM Putrajaya dan dibentangkan di 7th The International Conference on Local Knowledge (ICLK) 2017, Engaging Local Wisdom in the New Millineum, Puteri Pan Pacific Hotel, Johor Bahru 8-9 Mei 2017.
https://scholar.google.com/citations?user=cUUMY60AAAAJ&hl=en
Disediakan oleh:
Unit Media Strategik PSSCM Putrajaya @2017
No comments:
Post a Comment