Gombak, 6 Januari 2018: Seramai 12 ahli PSSCM dari Kelas Latihan Putrajaya telah menghadiri Majlis Tahlil yang diadakan sempena 6 Tahun kembalinya YM Almarhum Tuan Haji Ishak bin Itam, Guru Utama dan Presiden Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) yang kedua (1986-2009).
Program ini diadakan di Surau Sekolah Rendah Setiabudi, Gombak dan dirasmikan oleh YMDGU; Datuk Maideen Kadir Shah dan Datin dengan lebih 200 ahli PSSCM Lembah Kelang dan Selangor keluarga turut hadir. Majlis dimulakan dengan solat Isyak berjemaah dan diikuti dengan tahlil buat Almarhum.
Seusai tahlil sebuah tayangan montaj berkaitan perjuangan Almarhum Tuan Haji Ishak Itam telah dipersembahkan kepada para peserta diikuti dengan ucapan oleh YMDGU.
Di dalam ucapan beliau, YMDGU telah menegaskan bahawa Tuan Haji Ishak Itam merupakan seorang Guru silat yang sabar dan tenang dalam perjuangan menegakkan kebudayaan Melayu dan agama Islam melalui wadah Silat Cekak Malaysia. Perjuangannya selama 23 tahun penuh cabaran dan dugaan namun berkat kesabaran, PSSCM telah melahirkan ramai insan yang dapat memimpin masyarakat ke arah kebaikan.
Beliau telah meletakkan nilai keilmuan Silat Cekak ke tahap yang tinggi dengan meneruskan usaha yang digerakkan oleh Pengasas PSSCM terdahulu; Almarhum Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad iaitu dengan berusaha menjadikan Silat Cekak sebagai Silat Akademik.
'Kini setelah 52 tahun lebih dari 50 buah kajian dan jurnal telah dihasilkan oleh tokoh-tokoh dan ahli PSSCM di seluruh negara yang mereka bentangkan di dalam dan luar negara. Kita juga ada Sijil Menengah Akademik (SMA) yang akan meninggikan lagi martabat keilmuan Silat Cekak'.
'Kajian-kajian mereka ini akan dinilai oleh tokoh-tokoh akademik Silat Cekak yang mempunyai kemahiran dalam bidang masing-masing. Penulisan mereka akan dibentang dan diletakkan di ATMA UKM kerana kita telah membuat perjanjian MOU dengan mereka'. Ujar YMDGU
Program tahlil seumpamanya turut diadakan serentak di cawangan PSSCM di serata negeri. Majlis berakhir pada jam 12.00 tengah malam. Tahniah kepada semua ahli yang menjayakan program ini.
Kredit foto: Jabatan Penerangan PSSCM Ibu Pejabat dan Negeri-Negeri.
Disediakan oleh;
Unit Media PSSCM@2018