Sunday, 20 July 2025

Persediaan latihan Skuad KWD Tunas PSSCM KL Putrajaya

 


Putrajaya, 20 Julai 2025: PSSCM KL Putrajaya turut akan menyertai Kejohanan KWD Tunas Kanak-Kanak dan Remaja sempena Karnival Literasi Beladiri 2025 yang akan diadakan buat pertama kalinya di Institut Pendidikan Guru (IPG), Kampus Pendidikan Islam Bangi dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).


Insya Allah kami bersedia memberikan persembahan menarik dan terbaik. 

Jangan lupa kunjungi pelbagai booth jualan menarik sepanjangn kejohanan ini diadakan.



Jumpa di sana....

Disediakan oleh;

Unit Media Strategik PSSCM KL Putrajaya@2025 

Saturday, 19 July 2025

Mesyuarat Pengurusan dan Tenaga Pengajar PSSCM KL Putrajaya Bil 2/2025


Putrajaya, Jumaat 18 Julai 2025:  PSSCM Kelas Latihan Putrajaya telah berjaya Mesyuarat Pengurusan dan Tenaga Pengajar kali ke 2/2025 di Bilik Mesyuarat Kompleks Kejiranan Presint 9 dengan kehadiran seramai 11 orang Jawatankuasa dan Tenaga Pengajar. 

Mesyuarat ini dimulakan dengan pembentangan laporan aktiviti oleh Setiausaha PSSCM KL Putrajaya diikuti laporan kewangan oleh Bendahari PSSCM KL Putrajaya serta barisan Jawatankuasa.


Mesyuarat ini turut membincangkan perancangan akan datang terutama sekali berkaitan penyertaan peserta Kelas Tunas dan Remaja PSSCM KL Putrajaya di dalam Karnival Waja Diri Tunas pada 16 Ogos 2025 akan datang di Institut Pendidikan Guru, Kampus Pendidikan Islam Bangi, Selangor. 

Mesyuarat ini menjadi platform penting bagi menyelaras perjalanan kelas, memperkukuh strategi pengajaran serta memperkasakan penyampaian ilmu kepada para pelatih. 

Turut diadakan penyerahan surat lantikan kepada barisan tenaga pengajar sebagai simbolik kepercayaan dan amanah diberikan oleh PSSCM.

Majlis tamat jam 12.00 tengah malam.

Disediakan oleh;

Unit Media Strategik PSSCM KL Putrajaya@2025

Thursday, 17 July 2025

Selamat Menyambut Ulang Tahun Kelahiran buat YM Guru Utama dan Presiden PSSCM


Alhamdulillah...Semoga Allah swt memberkati usia YM Guru Utama dan Presiden PSSCM...terus memacu pembangunan Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia.  

Masya Allah, Tabarakallah

Ikhlas dari;

Barisan Jawatankuasa PSSCM KL Putrajaya, ahli-ahli serta keluarga PSSCM KL Putrajaya

Disediakan oleh;

Unit Media Strategik PSSCM KL Putrajaya@2025


Saturday, 28 June 2025

Program Konvokesyen, Hari Tenaga Pengajar dan Mesyuarat Agung Tahunan ke 54 PSSCM


Seremban, Sabtu 28 Jun 2025: PSSCM telah berjaya mengadakan Istiadat Konvokesyen kali ke 39, Hari Tenaga Pengajar (HTP) dan Mesyuarat Agung Tahunan (MAP) ke ke 54 PSSCM pada hari ini dengan kehadiran lebih 1500 ahli, tetamu dan keluarga PSSCM seluruh negara. Selain itu, majlis turut dihadiri oleh wakil-wakil dari pertubuhan silat dan PESAKA, NGO, pihak PDRM serta beberapa agensi kerajaan yang lain.





Sambutan ini berlangsung meriah kerana buat julung-julung kalinya diadakan di Kompleks Datuk Haji Maideen Kadir Shah milik sepenuhnya PSSCM hasil sumbangan wakaf para ahli PSSCM yang telah dinaik taraf dan memberikan keselesaan buat para tetamu yang hadir.  



Seramai 391 graduan PSSCM telah lulus Ujian Sijil Rendah (USR) dan dianugerahkan Sijil Rendah Persilatan dan 137 orang penerima Sijil Menengah Anugerah Guru Utama (SMAGU). Manakala Sijil Menengah Akademik (SMA) akan disampaikan pada Konvokesyen tahun hadapan.





Sementara di luar perkarangan dewan turut diadakan jualan-jualan yang dihasilkan sendiri oleh ahli-ahli PSSCM seperti juadah makanan dan minuman, cenderamata, buku-buku terbitan PSSCM oleh Jabatan Penerangan PSSCM, pakaian dari MAROZ Tailoring Sdn Bhd. Paling menarik keberadaan gerai menjual bunga-bunga konvo yang dihasilkan sendiri oleh Wanita Cekak Pusat (WCP).  

 




Majlis dirasmikan oleh YMDGU telah dimulakan dengan penyampaian sijil-sijil pada sebelah pagi diikuti dengan Hari Tenaga Pengajar (HTP) pada sebelah petangnya dengan Ceramah Awal Muharam oleh Al Fadhil Ustaz Johari bin Mat Som, Mudir Madrasah Tahfiz Wal Ulum Ummu Fatem, Ampang Selangor.





Pada sebelah malamnya diadakan pula Mesyuarat Agung Perwakilan (MAP) PSSCM kali ke 54. Di dalam MAP ini jawatan Presiden, Naib-Naib Presiden PSSCM disandang oleh penyandang sebelumnya. Majlis berakhir pada jam 12.10 tengah malam.

Buku Laporan Tahunan 2024, sila layari: 



Di dalam ucapan YMDGU menyatakan program ini berjaya mencapai objektifnya kerana berjaya meletakkan kedudukan PSSCM sebagai sebuah persatuan silat yang mendaulatkan ilmu persilatan Melayu khususnya Seni Silat Cekak di tahap yang tinggi sesuai dengan usianya yang kini menjangkau 60 tahun. PSSCM akan terus berusaha dan bekerjasama dengan agensi kerajaan, komuniti dan institusi-institusi pendidikan negara dalam membangunkan modal insan agar penuntut dan graduan PSSCM memiliki siasah keperibadian, adab dan integriti yang unggul yang amat-amat diperlukan dalam pembangunan negara.





Terima kasih kepada semua ahli PSSCM yang menyumbang jasa dan bakti walau dalam bidang apa sekalipun. Usaha kita demi memartabatkan seni budaya bangsa dan mendaulat ilmu persilatan Melayu.Jumpa lagi di  tahun hadapan, Insya Allah.




Terima kasih kepada Tim Dapur Silat kerana menyediakan juadah yang sedap dan mengenangkan para tetamu yang hadir.





Juga pada Tim Istiadat dan Protokol yang memeriahkan suasana sepanjang acara berlangsung dengan penuh tertib dan bergaya.




#silatcekak #silatcekaksilatakademik #silatkedah #silatmelayu 

Rakaman siaran langsung majlis: https://www.youtube.com/live/KOMqn6f6jko

Foto ehsan: Jabatan Penerangan PSSCM dan kompilasi foto FB ahli-ahli PSSCM

Disediakan oleh;

Unit Media Strategik PSSCM KL Putrajaya @2025

Sunday, 22 June 2025

Daulat Tuanku Al Aminul Karim Sultan Kedah

 


PSSCM KL Putrajaya turut merafak sembah dan ucapan setinggi-tinggi tahniah KeBawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Kedah sempena Ulang tahun Hari Keputeraan baginda. 

Daulat Tuanku...Daulat Tuanku...Daulat Tuanku!

AlhamduLillah dengan izin Allah swt dan perkenan Istana Kesultanan Kedah Darul Aman maka PSSCM telah dinaungi oleh KDYMM Al Sultan Kedah sebagai Penaung DiRaja PSSCM pada 12 Jun 2022 dan KDYTM Raja Muda Kedah sebagai Timbalan Penaung DiRaja PSSCM pada 14 Mei 2025.

Merafak sembah penuh takzim dari kami di PSSCM KL Putrajaya jua.  Daulat Tuanku.




Berikut adalah grafik salasilah KDYMM Sultan Kedah dan perkaitan keturunan baginda dengan ilmu Seni Silat Cekak Malaysia. Salasilah ini turut dipamerkan di Galeri PSSCM, Muzium Kedah Alor Setar.


Sumber: Jabatan Penerangan PSSCM


Disediakan oleh;

Unit Media Strategik PSSCM KL Putrajaya @2025 

 

Friday, 20 June 2025

Pra Pelancaran Latihan Demonstrasi Perdana 60 Tahun PSSCM


Wangsa Maju, Kuala Lumpur, 20 Jun 2025: PSSCM PL Wangsa Maju telah menjadi tuan rumah kepada program Pra Pelancaran Latihan Demonstrasi Perdana sempena 60 Tahun PSSCM. Program tersebut dilancarkan oleh YM Datuk Hj Maideen Kadir Shah Guru Utama & Presiden PSSCM. 




Program ini dihadiri hampir 200 orang termasuk Ahli Jawatankuasa Pusat PSSCM. PSSCM Putrajaya turut menghantar wakil pesilat bagi mengikuti program sesi latihan ini. Latihan silat bermula pada jam 9.30 malam merupakan persediaan bagi demonstrasi besar-besaran selain mengasah kemahiran para penuntut PSSCM.


Pada majlis ini YM Datuk Hj Maideen turut mempersembahkan adegan sepasang lading, aksi papan sekeping dan melancarkan logo Perayaan PSSCM ke 60. 



Majlis berakhir pada 11.45 malam.

Disediakan oleh;

Unit Media Strategik PSSCM KL Putrajaya @2025


Saturday, 7 June 2025

Sambutan Hari Raya Aidiladha PSSCM Peringkat Lembah Klang 2025/1446H


Kompleks Silat Datuk Haji Maideen, Seremban, 6 - 7 Jun 2025 / 9 - 10 Zulhijjah 1446H: PSSCM berjaya mengadakan Sambutan Hari Raya Aidiladha Peringkat Lembah Klang 2025/1446H. Seramai 150 orang ahli PSSCM telah hadir dan berkumpul di Kompleks Silat Datuk Haji Maideen, Seremban bagi sama-sama meraikan Hari Raya Aidiladha dan seterusnya menjalankan ibadah korban.

Majlis bermula pada hari Jumaat petang (9 Zulhijjah) dengan gotong royong memasak serta berbuka puasa. Pda sebelah malamnya diteruskan dengan Tahlil dan Laungan Takbir selesai Solat Isyak. 


Pada keesokkan hari (10 Zulhijjah) selepas Solat Sunat Hari Raya telah diadakan aktiviti gotong royong korban dengan seekor lembu telah dikorbankan pada tahun ini. Daging-daging yang telah dilapah dan dipotong dimasak bagi menjamu para tetamu dan petugas yang hadir, selain diagihkan kepada golongan asnaf dan petugas. Makan tengahari turut disediakan secara bergotong royong oleh ahli-ahli PSSCM.


Di sebelah petang, majlis diteruskan dengan Bacaan Tahlil dan Takbir. Ucapan Penutup disampaikan oleh YM Datuk Haji Maideen Bin Kadir Shah, Guru Utama dan Presiden PSSCM.


Salam Aidil Adha dari PSSCM untuk semua ahli PSSCM dan umat Islam.


Foto ihsan: Jabatan Penerangan PSSCM

Disediakan oleh;

Unit Media Strategik PSSCM Putrajaya@2025


Wednesday, 4 June 2025

Tahlil Almarhum YM Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad, Pengasas Agung PSSCM, Peringkat Kebangsaan 2025M/445H

 


Bangunan Silat Cekak, Sentul, Kuala Lumpur. Selasa 3 Jun 2025: PSSCM telah mengadakan Majlis Tahlil Khas buat Almarhum YM Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad yang diadakan secara hibrid di seluruh negara dengan penyertaan seramai hampir 900 orang ahli PSSCM dari seluruh negara. 

Majlis ini adalah bagi memperingati Almarhum YM Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad ang telah kembali ke rahmatullah pada tanggal 13 Ogos 1986 bersamaan 7 Zulhijjah 1406H. 

YM Datuk Haji Maiden bin Kadir Shah, Guru Utama & Presiden PSSCM dalam amanatnya mengingatkan agar seluruh warga PSSCM mengenang serta menghargai jasa dan pengorbanan Almarhum YM Ustaz Haji Hanafi Bin Haji Ahmad yang telah mengasaskan Persatuan Seni Silat Cekak  Malaysia dan memimpin selama 21 tahun. 



Segala apa yang dikecapi pada hari ini sesungguhnya adalah hasil dari keringat dan perjuangan orang-orang terdahulu, khususnya jasa guru-guru Silat Cekak. Justeru semua ahli perlu terus bersama dan bersatu menyumbang kepada pembangunan PSSCM mengikut kemampuan dan kapasiti masing-masing sama ada dari segi tenaga, wang ringgit, masa dan buah fikiran.



Semoga roh Almarhum YM Ustaz Haji Hanafi Bin Haji Ahmad ditempatkan dalam kalangan para syuhada', orang-orang beriman serta orang-orang beramal soleh. Aamin

Disediakan oleh:

Unit Media Strategik PSSCM Putrajaya @2025

Saturday, 24 May 2025

Majlis Penerangan dan Demonstrasi Silat Cekak @ Presint 11, Putrajaya


Putrajaya, 24 Mei 2025: PSSCM KL Putrajaya telah berjaya mengadakan satu Majlis Penerangan dan Demostrasi Seni Silat Cekak Malaysia di Apartment PPAM Malinjau, Presint 11 Putrajaya.




Majlis ini diadakan atas jemputan dari Persatuan Penduduk Apartmen PPAM Melinjau, Presint 11, Putrajaya tersebut dimulakan dengan sesi penerangan berkaitan Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM). Majlis seterusnya diteruskan dengan demonstrasi silat yang disertai gabungan penuntut lelaki dan wanita dewasa serta kelas Tunas yang terdiri dari remaja berumur 7 hingga 15 tahun. 




Pihak PSSCM telah diberi ruang untuk menjayakan aktiviti yang disertai oleh komuniti setempat sebagai sebuah inisiatif dari pihak Jawatankuasa Penduduk dalam mempelbagaikan program komuniti di apartmen mereka.




Pihak PSSCM KL Putrajaya mengucapkan ribuan terima kasih atas jemputan yang diberikan. 




Semoga hubungan dan kerjasama antara PSSCM - PPAM Melinjau terjalin mesra. Seni Silat Cekak Malaysia dan komuniti berpisah tiada...

Disediakan oleh;

Unit Media Strategik PSSCM KL Putrajaya@2025