Isnin, 3 September 2018: UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA, BANGI: Seramai 4 orang wakil dari PSSCM Putrajaya telah menghadiri Siri Wacana ATMA bertajuk Persenjataan Alam Melayu: Sejarah, Warisan dan Budaya.
Program yang diadakan di Bilik Senat, Aras 5, Bangunan Canselori Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi ini turut dihadiri lebih 200 orang wakil dari PSSCM, para pegawai, mahasiswa UKM serta komuniti budayawan.
Turut menghadiri program ini adalah YM Datuk Haji Maideen Kadir Shah; Guru Utama dan Presiden PSSCM dan Datin serta pegawai-pegawai PSSCM dari serata cawangan negeri dan kelas latihan.
Siri Wacana ini merupakan salah satu usaha oleh pihak ATMA untuk memberikan pendedahan kepada masyarakat tentang keunikan teknologi persenjataan umat Melayu yang terkenal sejak zaman berzaman. Seramai 4 orang ahli panel telah memberikan syarahan iaitu;
- Dr Khamis Mohamad dari Mahakarya Keris - Falsafah Keris
- Dr Ar Abdul Majid Ismail dari PSSCM - Keunikan dan Falsafah Parang Lading
- En Mohd Hasanuddin Yusof dari Maktab Penyelidikan Tamadun Islam Nusantara - Panah dan Busur Melayu
- En Wan Ahmad Arshad dari Galeri Pusaka Moyang - Senjata api Melayu
Wacana ini dipengerusikan oleh Y.Bhg Prof. Madya Dr Supyan Husin; Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Dalam ucapannya beliau berterima kasih di atas kehadiran para peserta yang begitu menggalakkan dan menyatakan pihak ATMA akan meneruskan usaha-usaha untuk memartabatkan warisan dan budaya Melayu melalui siri-siri wacana pada masa-masa akan datang. Antaranya yang berkaitan dengan busana Melayu serta merancang menghimpunkan perguruan-perguruan ilmu silat sekitar Nusantara yang direncanakan pada tahun hadapan.
Beliau turut menambah bahawa ilmu seni silat merupakan sebuah ilmu yang perlu dipelajari oleh orang Melayu kerana mempelajari ilmu silat bermakna seseorang itu akan mempelajari dan memiliki jati diri sebagai seorang Melayu.
YMDGU semasa sesi soal jawab turut mencadangkan agar ilmu silat Melayu perlu dimartabatkan hingga ke peringkat institusi pengajian tinggi dengan menjadi sebuah badan ko-kurikulum bertaraf akademik. Ini bertujuan bagi melahirkan sebuah bangsa yang memiliki jatidiri yang tinggi, hebat selain berpegang pada prinsip berani, amanah dan berintegriti.
Kertas kerja PSSCM berkaitan Parang Lading telah dibentangkan oleh Prof Madya Dr Abdul Majid Ismail; Naib Presiden 1 PSSCM bagi membuktikan bahawa senjata ini telah digunakan oleh masyarakat Melayu untuk mempertahankan diri sejak zaman-berzaman, khususnya di negeri Kedah. Senjata ini mempunyai kaitan yang rapat dengan PSSCM sejak di awal kelahirannya dan telah dipatenkan hak ciptanya di peringkat antarabangsa secara rasminya sejak tahun 1994 lagi.
Dengan adanya pembentangan kertas kerja berkaitan Parang Lading dan senjata-senjata Melayu yang lain maka masyarakat boleh mengetahui kesahihan sejarah bangsa dan teknologi persenjataan orang-orang Melayu.
Pembentangan pada hari ini juga boleh menjadi sebuah rujukan yang asli dan bernilai tinggi kepada para peminat ilmu persenjataan Melayu tempatan dan luar negara.
Para peserta juga turut dihidangkan dengan video sketsa dan persembahan seni parang lading oleh YMDGU dan seterusnya oleh Naib Presiden II PSSCM; Encik Safran bin Ahmad.
(Untuk mengetahui parang lading secara ringkas sila rujuk: https://www.silatcekak.org.my/index.php/senjata-rasmi)
Di luar bilik persidangan, model booth pameran PSSCM bercirikan korporat turut dipamerkan kepada para peserta buat pertama kalinya. Booth ini akan digunakan sewaktu pameran-pameran besar yang PSSCM menyertainya di seluruh negara.
Siri wacana ini merupakan sebuah kerjasama strategik antara PSSCM dengan ATMA dalam usaha mengakademikkan ilmu persilatan Melayu. Selain itu ia menjadi medium merapatkan silaturrahim di kalangan komuniti budaya dan intelek Melayu memartabatkan warisan dan seni budaya persenjataan Melayu di negara ini dan di peringkat global.
Tahniah PSSCM ... kita maju selangkah lagi memartabatkan ilmu persilatan Melayu.
Terima kasih ATMA kerana memberikan peluang kepada PSSCM membentangkan kertas kerja ini.
Foto-foto menarik;
Disediakan oleh;
Unit Media Strategik PSSCM Putrajaya, 2018
No comments:
Post a Comment