Saturday, 27 December 2025

Malam Gemilang Sireh Pulang Ke Gagang PSSCM 60 Tahun


Hotel Raia, Alor Setar, 27 Disember 2025PSSCM melakar sejarah di ambang tahun baru apabila DYTM Tengku Sarafudin Badlishah ibni Al Aminul Karim Sultan Salehuddin, Tuanku Raja Muda Kedah telah berkenan mencemar duli menghadiri Majlis Gemilang Sireh Pulang Ke Gagang yang dihadiri hampir 1,000 tetamu terdiri dari ahli PSSCM, wakil-wakil kerajaan Negeri dan para wartawan tempatan.


Di majlis tersebut DYTM Tuanku Raja Muda turut berkenan melancarkan Buku Jubli Intan 60 Tahun PSSCM serta Buku Silat Cekak Silat Akademik. 



Buku terbitan khas 60 tahun PSSCM ini merupakan kompilasi 60 artikel terbaik yang pernah dihasilkan oleh para graduan, sarjana, pengkaji dan pengamal Seni Silat Cekak Malaysia. Buku ini merangkumi kajian-kajian akademik yang pernah dihasil dan dibentangkan di dalam pelbagai seminar dan konvensyen di dalam dan luar negara merangkumi aspek pendidikan, agama, teknologi, sejarah dan budaya. 

Majlis makan malam ini diserikan dengan persembahan nasyid dari kumpulan Nikmatul Uzma, persembahan silat dan paling menarik persembahan lading yang mengujakan.



Daulat Tuanku...semoga PSSCM terus berkembang pesat di bawah naungan DYMM Tuanku Sultan Kedah, Penaung PSSCM & DYTM Tuanku Raja Muda Kedah, Timbalan Penaung PSSCM.


Kredit Foto: FB PSSCM, FB Kedah Royal Family

Disediakan oleh:

Unit Komunikasi Strategi PSSCM KL Putrajaya @2025

Pentomen dan Demonstrasi Sambutan Jubli Intan 60 Tahun PSSM @Alor Setar


Alor Setar, 27 Disember, Sabtu: Buat julung kalinya PSSCM berjaya mengadakan Program Pentomen dan Demonstrasi Perdana Silat Cekak Malaysia di Dataran Alor Setar, Kedah bersempena Sambutan Jubli Intan 60 tahun PSSCM.






Persembahan pentomen dan demostrasi tersebut disertai oleh lebih 700 orang pesilat dengan kehadiran kira-kira 3,000 peserta dan keluarga PSSCM serta orang awam dari seluruh negara. Turut diadakan persembahan dari wusyu, silambam dan Silat Kedah.

Persembahan ini mengimbau kembali sebahagian dari sejarah awal Silat Cekak dan diadakan ditempat yang penuh bersejarah iaitu Balai Besar, Balai Nobat dan Masjid Zahir yang merupakan bekas tapak makam para syuhada Perang Musuh Bisik yang dekat dengan jiwa Silat Cekak. 




Majlis dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kedah; YB Datuk Mohd Salleh bin Saidin. Beliau memuji usaha yang dijalankan oleh PSSCM memartabatkan warisan seni budaya Melayu dan menyokong aktiviti program Tahun Melawat Kedah 2025 yang bertemakan Experience Kedah.




Sementara YM Datuk Haji Maideen bin Kadir Shah; Presiden dan Guru Utama PSSCM dalam ucapannya turut berterima kasih kepada kerajaan negeri Kedah yang banyak menyokong usaha PSSCM menjayakan program gemilang ini yang dapat meningkatkan pengetahuan masyarakat terhadap sejarah Silat Cekak yang berasal dari Istana kedah dan kini ia kembali semula ke istana ibarat Sirih Pulang Ke Gagang.




Kredit dan Sumber Foto: FB Datuk Salleh Saidin, FB PSSCM

Disediakan oleh:

Unit Komunikasi Strategik PSSCM KL Putrajaya @2025



Sunday, 7 December 2025

Kelas Tunas PSSCM

 


7 Disember 2025, Komplek Komuniti Presint 16, Putrajaya: Latihan kelas Tunas berjalan seperti biasa untuk sesi terakhir pada tahun 2025. Para peserta akan bersambung dengan sesi 2026 pada Januari kelak. 



Selamat bercuti untuk adik-adik kelas Tunas...jangan lupa berlatih agar tidak lupa buah-buah pelajaran.

Jumpa lagi tahun depan dengan semangat baharu. Kita bentuk Skuad KWD 2026 berentap mencipta kejayaan!

Disediakan oleh:

Unit Komunikasi Strategik PSSCM KL Putrajaya@2025

Saturday, 6 December 2025

Raptai Pra Pantomen Sambutan 60 Tahun PSSCM

 


6 Disember 2025, Sabtu: PSSCM telah mengadakan sesi raptai penuh Latihan Pantomen dan Demonstrasi Perdana Jubli Intan 60 Tahun PSSCM di Komplek Silat Datuk Haji Maideen, Negeri Sembilan dengan kehadiran lebih 500 peserta dan keluarga.






Latihan ini merupakan sesi terakhir sebelum para peserta berlepas ke Alor Setar Kedah pada 26 Disember 2025 bagi meraikan acara pentomen dan demonstrasi sebenar.

Jumpa di sana...mai chek mai ...kita pi Kedah

Kredit Foto: Jabatan Komunikasi Strategik PSSCM 

Disediakan oleh:

Unit Komunikasi Strategik PSSCM KL Putrajaya @ 2025





Sunday, 23 November 2025

Kelas Latihan Tunas Putrajaya ...Go KWD 2026!

 


Ahad, 23 November 2025: Kelas Tunas Silat Cekak seperti biasa berlangsung pada hari ini di Kompleks Kejiranan Presint 16, Putrajaya. 

Insya Allah kita bentuk dan didik team skuad KWD Tunas Putrajaya untuk Kejuaraan Wajadiri 2026 nanti.


Disediakan oleh:

Unit Komunikasi Strategik PSSCM KL Putrajaya @2025 

Monday, 10 November 2025

Konvensyen Seni Silat Melayu Antarabangsa (KOSSMA) 2025


Kuala Lumpur, 9 November 2025: Konvensyen Seni Silat Melayu Antarabangsa (KOSSMA) 2025 telah diadakan di Muzium Negara anjuran bersama Persatuan Dunia Seni Silat Melayu Malaysia (DSSM) dan Pertubuhan Pemedang Malaysia.

Program yang dirasmikan oleh YBrs Encik Kamarul Baharin bin A. Kassim; Ketua Pengarah Muzium Negara dan ucaptama disampaikan oleh YB Senator Datuk Seri Prof. Emiretus Dr. Awang Sariyan: Senator Dewan Negara merangkap Penyandang Kerusi Raja-Raja Melayu UITM ini merupakan inspirasi dari kejayaan Konvensyen Seni Silat Melayu Pertama yang pernah diadakan di Universiti Sains Malaysia (USM) pada Julai 1973 dahulu. 




Majlis ini dihadiri lebih 3,000 peserta terdiri dari 4 segmen aktiviti merangkumi pameran, jualan, persembahan seni silat dan konvensyen turut dihadiri oleh skuad demonstrasi PSSCM. Manakala pembentangan kertas kerja oleh YBrs Tuan Shukri bin Janudin; ahli PSSCM Putrajaya yang juga merupakan Pengkaji dan Penulis Bebas Sejarah Kedah Tua, Silat Cekak dan Jurai Keturunan Wan. 



Beliau telah membentangkan tajuk Kearifan Watan Silat Melayu - Evolusi Silat Dari Abad ke 18 Hingga 2025: Kajian Terhadap Seni Silat Cekak Malaysia. Dalam majlis ini beliau turut dianugerahkan gelaran Sang Satria Mahawangsa atas dedikasi mengakademikkan ilmu seni silat Melayu.


Disediakan oleh:

Unit Media Komunikasi Strategik PSSCM KL Putrajaya@2025   

Saturday, 25 October 2025

Perhimpunan Silat PESAKA 2025 ...mengujakan !!!


NILAI, Negeri Sembilan, Sabtu 25 Oktober 2025: Lebih 300 orang delegasi dan pesilat dari PSSCM telah menghadiri Majlis Perasmian Himpunan Silat PESAKA Malaysia 2025 yang menghimpunkan lebih 10,000 orang pendekar dan pesilat yang bernaung di bawah payung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA).



Majlis ini dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai pengiktirafan kepada para pesilat dan mengangkat seni mempertahankan diri warisan bangsa Melayu.





Di dalam majlis ini Naib Presiden II PSSCM; YBhg. En. Safaran bin Haji Ahmad telah dianugerahkan Anugerah Tokoh Guru Silat 2025 yang disampaikan oleh YAB TPM. Beliau turut mengekalkan jawatan sebagai Naib Presiden PESAKA Malaysia sempena Persidangan Tahunan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia kali ke-21 pada keesokan harinya.

Turut diadakan pertandingan silat olahraga dan persembahan seni yang cukup meriah dengan sorakan dan semangat kesukanan. 



PSSCM KL Putrajaya turut menghadiri program ini bersama-sama skuad demonstrasi menjayakan persembahan silat dan tetamu jemputan.







Semoga perhimpunan ini menjadi pemangkin penyatuan dan kemajuan silat Melayu di negara ini.

Kredit foto: Jabatan Penerangan PSSCM, PESAKA

Disediakan oleh;

Unit Media Strategik PSSCM@2025


Friday, 24 October 2025

Penglibatan PSSCM @ RUMIA 2025


Lumut, Perak Jumaat, 24 Oktober 2025. PSSCM telah menyertai Persidangan Rumpun Melayu Antarabangsa (RUMIA) 2025 anjuran bersama Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Pertubuhan Dunia Seni Silat Melayu (DSSM) dan Pertubuhan Pemedang serta kerajaan Negeri Perak bertempat di Hotel Orient Star Resort, Lumut bersempena Festival Puisi dan Lagu Rakyat (PULARA) kali ke 11.

RUMIA kali ini bertemakan Silat Warisan Dunia Memartabatkan Jati Diri Melayu di Pentas Dunia bermatlamat memperkukuhkan perpaduan, jati diri dan kemajuan seni silat Melayu di pentas global. 

Majlis diserikan dengan ucapan ulung dari YBhg. Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad; Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia yang menyentuh kepentingan mengenali dan memahami sejarah perjuangan bangsa Melayu dalam memenuhi makna kemerdekaan dan pembiinaan jati diri bangsa. 



Terdapat tiga forum utama yang menampilkan tokoh-tokoh panel PSSCM dan Persilatan Melayu Melayu antaranya Tuan Haji Ghazali Abdul Rahman (Ahli Lembaga dan Pelajaran - LPT PSSCM), Ustaz Johari Mat Som (Mudir Madrasah Tahfiz Wal Ulum Ummu Fatem), YM Raja Shariman Raja Aziddin (Presiden SUAKA), Tuan Shukri bin Janudin (Penyelidik PSSCM), Ar Dr Abdul Majid Ismail (Naib Presiden 1 PSSCM) dan Ir Dr Mohd Azuwan Maoinser (Pengerusi Jabatan R&D PSSCM).


Turut menyampaikan forum adalah barisan para panel dari luar negara seperti Edwin Chard (Perguruan Silat Harimau Berantai, United Kingdom), Dr Richard Bailey (UCSI) dan Rob Brandt (Presiden Persekutuan Silat Melayu Netherlands).

Disediakan oleh:

Unit Media Strategik PSSCM KL Putrajaya@2025

Friday, 10 October 2025

Majlis Tahlil Almarhum YM Tuan Haji Ishak bin Itam Peringkat Kebangsaan 2025/1447H


10 Oktober 2025 / 18 Rabiulakhir 1447H, Jumaat: PSSCM telah mengadakan Majlis Tahlil Almarhum YM Tuan Haji Ishak bin Itam, sebagai tanda mengenang jasa dan pengorbanan beliau yang telah memimpin Silat Cekak selama 23 tahun.

Hampir 900 orang ahli dan keluarga besar PSSCM telah berhimpun secara hibrid. Seramai 20 ahli PSSCM KL Putrajaya turut mengikuti program ini secara maya.  

Majlis turut diserikan dengan tayangan montaj khas yang memaparkan perjalanan hidup, sumbangan serta pengorbanan Almarhum dalam memperkasa dan mengembangkan PSSCM. Tayangan ini menyentuh hati para hadirin, mengimbau kenangan indah dan kasih mendalam terhadap insan yang amat dihormati ini.


Majlis diakhiri dengan ucapan penutup oleh YM Datuk Haji Maideen bin Kadir Shah, Guru Utama merangkap Presiden PSSCM, yang turut menzahirkan penghargaan dan doa agar semangat perjuangan Almarhum terus menjadi sumber inspirasi kepada seluruh ahli PSSCM.

Dipohonkan agar roh Almarhum ditempatkan dalam kalangan para syuhada’, orang-orang beriman dan beramal soleh. 

Kredit Foto: Jabatan Penerangan PSSCM

Disediakan oleh;

Unit Media Strategik PSSCM Putrajaya @2025

Sunday, 7 September 2025

Kelas Latihan Tunas PSSCM Putrajaya...Jom sertainya



Langkah kecil hari ini...Bermula dari kosong...akhirnya anak-anak Tunas akan terdidik dengan disiplin, sahsiah unggul dan  keyakinan serta nilai jati diri. 

Lokasi: Kompleks Kejiranan Presint 16, Putrajaya

Hari: Sabtu atau Ahad minggu pertama dan ketiga (akan dimaklumkan dari masa ke semasa)

Umur: Kanak-kanak & remaja (7–15 tahun)

Sertai kami & rasai sendiri warisan bangsa penuh nilai, mendidik anak-anak menjadi generasi berani, amanah dan berintegriti!

🔗 Pendaftaran: https://linktr.ee/cekakputrajaya

🌐 Info lanjut: www.silatcekak.org.my

⚔️ “Silat Tonggak Jati Diri Bangsa – Membina Generasi BERANI, AMANAH & INTEGRITI.”

HIDUP CEKAK!


Disediakan oleh;

Unit Komunikasi Strategik PSSCM KL Putrajaya@2025

Saturday, 6 September 2025

Program Maulidur Rasul PSSCM @ PSSCM KL Putrajaya


Putrajaya 6 September 2025: PSSCM Kelas Latihan Putrajaya pada hari ini turut menjayakan Program Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan PSSCM 2025M/1447H yg turut dihadiri seramai 30 orang ahli PSSCM KL Putrajaya & keluarga secara hybrid.


Program berlangsung dengan penuh keberkatan dan semangat kebersamaan. Bagi peringkat Putrajaya, penglibatan ahli-ahli kelas latihan telah dijalankan secara fizikal di kediaman Seri Sanggarsari, Putrajaya, dengan penyertaan melalui platform Zoom telah menghubungkan peserta dengan majlis di peringkat kebangsaan.


Kehadiran ahli kelas latihan Putrajaya telah memberi semangat dan sokongan kepada usaha memperkukuhkan penghayatan Maulidur Rasul tahun ini dalam kalangan warga PSSCM. Istimewa tahun ini ceramah Maulidur Rasul telah disampaikan oleh YBhg Ustaz Haji Johari bin Mohd Som; Pengasas dan Mudir Madrasah Tahfiz Ummu Fatem, Ampang, Selangor. Seterusnya majlis perasmian penutup disampaikan oleh YM Guru Utama dan Presiden PSCM; Datuk Haji Maideen Kadir Shah.


Penggunaan platform Zoom membolehkan kesinambungan hubungan dengan ahli-ahli di seluruh Malaysia secara serentak.


Majlis berjalan lancar dengan kerjasama semua ahli kelas latihan Putrajaya yang hadir dan diakhiri dengan sesi doa selamat juga jamuan tengah hari.




PSSCM Putrajaya mengucapkan Salam Maulidur Rasul 2025M/1447H. 


Disediakan oleh;

Unit Komunikasi Strategik PSSCM KL Putrajaya@2025