Sabtu, 9 November 2024: Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (PSSCMUKM) dengan kerjasama Wanita Cekak PSSCM (WCP) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berjaya menganjurkan Simposium Silat Cekak Silat Akademik 2024 (SCSA 2024) dan Majlis Makan Malam Penutup Simposium & Pra-Pelancaran Perayaan 50 Tahun PSSCMUKM (1976-2026).
Program ini diadakan di Auditorium Teknologi Multimedia Fusion Akademia Siber Teknopolis, UKM Bangi ini telah dihadiri seramai 300 orang ahli Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) yang terdiri daripada Guru Utama dan Presiden PSSCM iaitu YM Datuk Haji Maideen b Kadir Shah, barisan Ahli Lembaga Pelajaran dan Tatatertib (LPT), AJK Pusat, Ahli Kelas Latihan Universiti dan Kelas Latihan Awam di seluruh negara termasuk ahli yang hadir dari Singapura, Indonesia dan Australia.
Dengan menggunakan tema "Silat Cekak: Memperkasa Warisan, Mengukuh Jati Diri Dalam Era Globalisasi" diharapkan memberi impak kepada pembangunan jati diri para ahli PSSCM seiring dengan tema perayaan 60 tahun PSSCM iaitu "Silat Tunggak Jati Diri Bangsa".
Pembentangan Kertas Kerja
Seramai 5 orang pembentang yang terpilih iaitu:
1. En. Shukri bin Janudin - Etimologi Asal Usul Parang Lading: Senjata Asli Melayu Kedah dan Senjata Rasmi Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM)
2. Dr. Muhammad Afiq bin Khairil Anuar - Kesejahteraan Mental dalam kalangan pengamal Silat Cekak: Peranan Faktor Sosiodemografi dan Aktiviti Latihan
3. Prof. Madya Ts. Dr. Abdul Hafiz bin Ab Majid - Elemen H.E.B.A.T dalam Kurikulum Silat Cekak Malaysia di Universiti Sains Malaysia: Perjalanan 50 Tahun
4. Dr. Wan Norsyakila binti Wan Kamarudin - Peranan Wanita Cekak PSSCM dalam Pembentukan Keluarga dan Masyarakat Madani: Meneladani Kebijaksanaan dan Kepimpinan Saidatina Khadijah binti Khuwailid
5. Tn. Hj. Mohd Zaini bin Marzuki - Krisis Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia 1993: Satu Kajian Terhadap Punca dan Kesan kepada Pentadbiran dan Tata Urus (Corporate Governence) Berpersatuan
Pembentangan yang menarik ini telah mendapat reaksi positif daripada para penonton yang hadir.
Sesi Soal Jawab
Disebelah petang pula, sesi Soal Jawab diadakan bersama kesemua 5 pembentang, yang dikendalikan oleh Ir. Dr. Mohd Azuwan bin Maoinser selaku moderator. Beliau juga merupakan Pengerusi Jabatan RND PSSCM dan juga Penasihat Program Simposium SCSA2024 ini. Terdapat 3 sesi dalam sesi soal jawab ini. Dihujung sesi soal jawab, sesi penggulungan telah disempurnakan dengan ucapan daripada YM Datuk Haji Maideen bin Kadir Shah sekaligus menyampaikan amanat ringkas buat ahli-ahli yang hadir.
Majlis Makan Malam Penutup
Pada sebelah malam, program diteruskan dengan Majlis Makan Malam Penutup Simposium SCSA dan Pra-Pelancaran Perayaan 50 tahun PSSCMUKM (1976-2026) bertempat di Dewan Sutera, Kolej Ibu Zain, UKM.
Majlis ini telah dihadiri oleh 320 orang ahli PSSCM yang terdiri daripada alumni PSSCMUKM secara khususnya dan ahli PSSCM seluruh negara secara amnya. Di dalam majlis makan malam ini juga telah diumumkan Pembentang Terbaik iaitu Tn. Hj. Mohd Zaini bin Marzuki yang membentangkan kertas kerja bertajuk; Krisis Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia 1993: Satu Kajian Terhadap Punca dan Kesan kepada Pentadbiran dan Tata Urus (Corporate Governence) Berpersatuan. Majlis ini telah dirasmikan oleh YM Datuk Haji Maideen bin Kadir Shah, Guru Utama dan Presiden PSSCM.
Pelbagai persembahan menarik telah dipertontonkan antaranya Persembahan Qasidah dari kumpulan Anni’matul Uzma, Persembahan Demostrasi PSSCM, Montaj Penutup Simposium, Montaj Khas sempena 50 tahun PSSCMUKM dan Gimik Pra-Pelancaran Perayaan 50 tahun PSSCMUKM.
Terima kasih buat semua ahli yang telah terlibat, hadir dan menyokong program ini.
Kredit Foto: Jabatan Penerangan PSSCM
Disediakan oleh:
Unit Media dan Komunikasi Strategik PSSCM Putrajaya @2024
No comments:
Post a Comment