Sabtu, 12 April 2025: Seremban Negeri Sembilan. Lebih 1,500 ahli Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) di seluruh Malaysia serta keluarga dan para tetamu jemputan hadir memeriahkan Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama Guru Utama merangkap Presiden PSSCM.
Kemeriahan terasa lebih bermakna apabila buat pertama kalinya Sambutan Hari Raya Aidil Fitri diadakan di Kompleks Silat Datuk Haji Maideen yang tersergam indah dibina dan diubahsuai serta baru sahaja dirasmikan pada Disember lalu. Sebuah surau baharu hasil wakaf para ahli PSSCM turut dibina bagi kemudahan para jemaah mengerjakan solat.
Kemeriahan turut terserlah dengan penyertaan 12 buah gerai PSSCM Cawangan Negeri-Negeri yang menyajikan pelbagai juadah tradisional istimewa, mewakili citarasa unik dari seluruh Malaysia. Antaranya menu utama nasi beriyani yang disediakan oleh Tim Dapur PSSCM, kuih-muih, kuey teow goreng, lemang periuk kera, ketupat palas, laksa Johor, keropok lekor dan sebagainya untuk hidangan kepada para tetamu yang hadir. Malah lebih menarik pertandingan antara gerai turut diadakan.
Alunan Qasidah Burdah daripada Kumpulan An-Nikmatul Uzma, diikuti nyanyian lagu-lagu raya oleh ahli-ahli PSSCM telah membangkitkan nostalgia dan semangat Aidilfitri di Kompleks ini.
Di dalam ucapan penutupnya, Guru Utama & Presiden PSSCM iaitu YBhg. Datuk Haji Maideen bin Kadir Shah telah menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh jawatankuasa pelaksana yang telah berusaha gigih menjayakan sambutan yang penuh gilang-gemilang ini.
Majlis berakhir sekitar jam 6 petang dengan sesi penyerahan duit raya kepada anak-anak ahli PSSCM, mengukir senyuman manis dan kenangan indah buat semua ahli keluarga yang hadir.
Semoga ikatan ukhuwah dan jalinan kasih sesama ahli PSSCM akan terus mekar buat selama-lamanya.
Disediakan oleh:
Unit Media PSSCM KL Putrajaya@2025